Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Dalam usaha membantu menambah bekalan darah untuk Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) terutamanya semasa gelombang ketiga penularan COVID di negara ini, Kedutaan Republik Turki di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan kempen derma darah, kelmarin.
Duta Besar Republik Turki ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Ersoy berkata, kempen yang disertai oleh kakitangan kedutaan berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat dan memandangkan bulan Ramadan yang hanya tinggal beberapa minggu saja lagi.
Semua umat Islam perlu membantu dengan menderma darah sambil mengingati ia akan susah dilakukan apabila menjelang bulan Ramadan, tambah beliau semasa kempen yang diadakan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS.
Tuan Yang Terutama dan isteri, Lale Ersoy turut menyertai kempen berkenaan.
Ketua Jabatan Tabung Darah dan Pegawai Sains Kanan, Chong Kim Moi dan Penyelia, Haji Iqmal bin Haji Ismail telah hadir bagi mengalu-alukan warga Kedutaan Turki.
Kempen berkenaan diadakan sempena Hari Perubatan yang diraikan pada 14 Mac di Turki di mana TYT Profesor Dr Ersoy turut mengucapkan tahniah kepada doktor dan petugas kesihatan di pusat berkenaan dan berterima kasih atas usaha serta pengorbanan mereka, terutama semasa wabak COVID.