Kedutaan Rusia terima kunjungan pelajar

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan antara Negara Brunei Darussalam dengan Persekutuan Rusia, buat kali pertamanya Brunei telah menerima lima orang mahasiswa-mahasiswi daripada Saint Petersburg State University bagi meneruskan pengajian mereka di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) melalui program pertukaran pelajar.

Kedutaan Besar Republik Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam hari ini, menerima kunjungan mahasiswa-mahasiswi itu yang diadakan di Kedutaan Besar Republik Persekutuan Rusia di Kampung Manggis.

Hadir di majlis tersebut dan menerima kunjungan itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Vladlen Stanislavovich Semivolos dan mengambil kesempatan dengan beramah mesra bersama mahasiswa-mahasiswi berkenaan.

Menurut TYT itu, perkara ini akan mencerahkan lagi peluang untuk mempererat hubungan antara kedua-dua buah negara yang perlu dikekalkan dan dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang.

Semasa berucap di hadapan media, usaha mempertingkatkan hubungan dalam bidang pendidikan, kini telah dipersiapkan dengan ikatan memorandum persefahaman (MoU) yang akan dimeterai tahun ini.

Pelajar pertukaran dari Rusia ketika bergambar bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam.

Pada tahun lalu, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah memeterai MoU dengan Majlis Mufti Rusia (RMC), Universiti Islam Kazan (IUK), Institut Islam Rusia (RII), Majlis Pendidikan Islam Rusia (CIE) dan Sekolah Perdagangan Tinggi Antarabangsa Moscow (MIRBIS) yang menjadi bukti bahawa hubungan antara kedua-dua belah negara kini semakin dipertingkatkan khususnya dalam bidang pendidikan.

Antara mahasiswa yang mengikuti program pertukaran pelajar dari Rusia di UBD terdiri daripada Shvets-Teneta-Gurii Uliana, Zabelina Daria, Travkin Pavel, Grekhov Arsenii dan Savvina Valeriia.

Mereka berkongsi pengalaman dengan menyatakan perasaan lega dan selesa kerana diberi peluang melanjutkan pelajaran di negara ini setelah berada selama tiga minggu di negara ini.

Meskipun tidak pernah mengunjungi negara ini sebelumnya, mereka berhasrat untuk meneruskan pengajian untuk mengetahui dan mendalami kebudayaan serta corak kehidupan di negara yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Meskipun cuaca dan suhu yang berbeza di antara Rusia dan Brunei, mereka mudah mengadaptasi dan berasa lebih selesa kerana cuaca yang panas tidak memerlukan mereka untuk memakai baju tebal dan skaf sepanjang masa seperti di negara asal mereka.

Mereka turut menyatakan syukur apabila diberi peluang menginap di The Core, UBD yang menyediakan segala keperluan mereka sepanjang pengajian selama satu semester di sini.

Selain memuji keramahan penduduk di negara ini mereka turut mengagumi kebudayaan serta makanan di negara ini, antara makanan menarik perhatian mereka ialah ambuyat yang dikatakan seperti roti yang enak apabila digabungkan dengan cicah dan makanan sampingan lainnya.

Selesai sahaja menjalani program ini, mereka berharap dapat memanfaatkan segala pengalaman yang diperoleh untuk digunakan setelah kembali nanti.