Kedutaan Thailand akan bantu tambah bekalan darah

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Dengan matlamat untuk sama-sama membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi terutama sekali pada waktu kecemasan, Kedutaan Thailand di Brunei Darussalam akan mengadakan kempen derma darah bagi komuniti dan warga Thailand di negara ini pada 21 Ogos ini.

Kempen yang bakal diadakan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu akan dijalankan dalam dua sesi iaitu sesi pertama pada pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan sesi kedua bermula pada 12:30 petang hingga 2 petang.

Sehubungan itu, sebagai langkah berjaga-jaga dengan situasi pandemik COVID-19, setiap penderma darah dikehendaki hadir mengikuti masa perjanjian sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pusat berkenaan.

Semasa kempen yang diadakan buat kali kelima sejak 2019 lalu itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul akan menyampaikan buah tangan berupa hidangan masakan Thailand dan pencuci mulut sebagai tanda penghargaan kepada para penderma atas sokongan teguh dan dedikasi mereka setelah mengambil bahagian dalam kempen tersebut.