Kedutaan Thailand anjur kempen derma darah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Kedutaan Besar Diraja Thailand di Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan kempen derma darah bagi komuniti dan warga rakan Thailand di Negara Brunei Darussalam dalam membantu memastikan bekalan darah sentiasa dalam keadaan mencukupi terutama sekali pada waktu kecemasan.

Hadir merasmikan kempen di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu, pagi tadi, ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul.

Puan Yang Terutama kemudiannya turut menyerahkan buah tangan tanda penghargaan kepada para penderma serta pegawai dan kakitangan di Kedutaan Besar Diraja Thailand yang terlibat.

Turut hadir semasa kempen tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Perubatan, Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas Hospital RIPAS, Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad dan Pemangku Pengarah Perkhidmatan Makmal, Dr Hajah Surita binti Haji Mohb Taib serta para penderma darah lain yang telah membuat perjanjian awal dengan pusat berkenaan.

Kempen berkenaan merupakan yang kedua diadakan kedutaan tersebut selepas kempen pada 13 November lalu yang diadakan sempena Good Deeds from the Heart kelolaan His Majesty King Maha Vajiralongkorn of Thailand’s Royal Initiative Volunteers telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Antara penderma yang turut serta pada kempen derma darah tersebut.

Pada masa yang sama, Pusat Pendermaan Darah juga mengalu-alukan para penderma darah, penganjur kempen derma darah dan orang ramai untuk datang menderma darah.

Ketika ini, Pusat Pendermaan Darah memerlukan kesemua jenis darah bagi keperluan pesakit-pesakit di hospital di seluruh negara.

Penderma-penderma darah juga dinasihatkan untuk membuat perjanjian dengan melayari laman sesawang www.linktr.ee/bdcripas.

Sementara itu, para pengunjung ke pusat tersebut juga dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi BruHealth dan mengimbas kod QR sebelum masuk dan keluar dari premis pusat.

Bagi para penganjur yang berhasrat untuk mengadakan kempen derma darah di premis masing-masing pula dinasihatkan untuk menghubungi terus pusat tersebut dan membuat perjanjian dengan pegawai yang bertugas.

Pihak penganjur juga dinasihatkan untuk memastikan semua aspek keselamatan di premis masing-masing adalah menurut piawaian yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan nasihat bagi kempen dan pendermaan darah, orang ramai bolehlah menghubungi talian 2242424 atau 7375745 atau melayari Facebook dan Instagram @bloodbank_ripas.