Kedutaan Thailand rai hari kebangsaan

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Dis – Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan Majlis Makan Malam sempena Hari Kebangsaan Republik Thailand yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, Empire Hotel and Country Club,  Jerudong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan,  Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Diraja Thailand, Rooge Thammongkol dalam ucapan alu-aluannya berkata, hari ini adalah hari istimewa bagi warga Thailand memandangkan negara itu memperingati tiga peristiwa penting iaitu Ulang Tahun Keistimewaan Raja Buhmibol Adulyadej, Hari Kebangsaan kerajaan Thailand serta Hari Bapa Thailand.

Beliau turut menyentuh mengenai persamaan antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand, terutamanya penghormatan terhadap raja.

Katanya, kedua-dua negara juga akan memperingati ulang tahun ke-35 penubuhan hubungan diplomatik tahun depan.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan berserta isteri menerima cenderahati dari Rooge Thammongkol.

“Hubungan rapat antara kedua-dua keluarga diraja telah ditunjukkan pada pameran galeri mini-foto di tempat itu, yang menggambarkan pertukaran lawatan diraja dengan lawatan terkini Her Royal Highness Chakri Sirindhorn pada November 2018,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan harapan agar kedua-dua buah negara dapat terus bekerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama seperti pertanian, pendidikan, makanan halal, budaya dan pelancongan.

Majlis makan malam berkenaan turut menyaksikan upacara memotong kek yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis bersama kuasa usaha Sementara Kedutaan Thailand bersama pasangan masing-masing.

Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Thailand sambil para tetamu menikmati hidangan.