Kedutaan Thailand sumbangkan barang keperluan asasi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Sempena Hari Keputeraan Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn pada 28 Julai lalu, Kedutaan Besar Diraja Thailand telah menyumbangkan barangan keperluan dan makanan asasi kepada Kompleks Rumah Kebajikan Belimbing, di Kampung Belimbing, Jalan Subok, hari ini.

Sumbangan berkenaan adalah antara projek sukarelawan inisiatif Raja Thailand dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan tema Good Deeds From the Hearts.

Hadir menerima sumbangan berkenaan pada majlis yang berlangsung di Tingkat 8, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul.

PYT Wanthanee Viputwongsakul berkata, sumbangan ke kompleks rumah kebajikan itu merupakan aktiviti kedua diadakan sempena Hari Keputeraan Raja Thailand, dengan aktiviti pertama adalah kempen menderma darah di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 28 Mei lalu. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah para pegawai dan kakitangan dari kedua-dua belah pihak.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika menerima sumbangan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul. Sumbangan berupa barangan keperluan dan makanan asasi itu akan diserahkan kepada Kompleks Rumah kebajikan Belimbing, di Kampung Belimbing, Jalan Subok. – Gambar oleh Muiz Matdani
Majlis penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan dan makanan asasi daripada Kedutaan Besar Diraja Thailand yang berlangsung di Tingkat 8, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. – Gambar oleh Muiz Matdani