Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Sebanyak 100 pokok telah ditanam semasa aktiviti penanaman pokok yang dianjurkan Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam bersempena Perayaan Sambutan Hari Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Sirikit, Ibu Permaisuri ke-90 pada 12 Ogos 2022, yang diadakan di Taman Rekreasi Hutan Berakas, pagi tadi.
Aktiviti berkenaan juga diadakan untuk menyokong inisiatif Protokol Hijau kerajaan Brunei dan sebagai salah satu bidang untuk menggalakkan gaya hidup mampan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon di negara ini, yang selaras dengan Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) dalam membuka jalan bagi negara untuk menjadi sebuah negara yang mampan.
Hadir di majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiyati binti Haji Abdul Wahab.
Turut hadir ialah perwakilan daripada KSSUP dan komuniti Thailand di negara ini.
Bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai dalam ucapannya pada acara tersebut antara lain menjelaskan bahawa meningkatkan litupan hutan dikenal pasti sebagai salah satu daripada 10 strategi utama dalam peralihan Negara Brunei Darussalam menjadi negara berkarbon rendah dan berdaya tahan iklim kerana ia berusaha untuk meningkatkan penyerap karbon negara, yang akan memberi kesan positif kepada habitat, biodiversiti dan ekosistem negara.
Jelasnya lagi, melalui program penanaman semula hutan dan penghutanan semula, kerajaan Brunei menyasarkan untuk menanam 500,000 pokok baharu menjelang 2035.
“Menjadi satu penghormatan bagi pihak kedutaan untuk terus menyumbang kepada tujuan ini dan berharap dapat meneruskan sokongan mereka kepada inisiatif Tindakan Iklim Kerajaan Brunei,” ujarnya.