Kedutaan Timor Leste sokong Sumbangan Pandu Lalu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Kedutaan Republik Demokratik Timor Leste di Negara Brunei Darussalam telah menghulurkan lebih 400 pek makanan kepada Sumbangan Pandu Lalu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah kelmarin.

Hadir menyerahkan sumbangan berupa makanan tin, beras, minyak masak, gula dan barangan keperluan anak damit itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres.

Manakala itu, hadir menerima sumbangan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Sumbangan Pandu Lalu itu merupakan inisiatif Sukarelawan Belia Brunei dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam dan disokong oleh KKBS.

Kempen bertujuan untuk bersama-sama membantu pihak kerajaan dengan menghulurkan sumbangan berupa barangan asasi untuk masyarakat yang memerlukan semasa penularan wabak COVID-19 di negara ini.

TYT Abel Guterres menyerahkan sumbangan kepada Dr Siti Norkhalbi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.