Oleh Lenna N.B.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Kedutaan Republik Turki di Brunei Darussalam akan menghoskan pameran seni ‘Emerge: Exclusive’ kelolaan Creative Space Art Gallery & Studio sebagai sebahagian daripada Program ‘Emerge’ pada 15 hingga 25 Mei depan.
Program Emerge merupakan inisiatif untuk mempromosikan artis-artis muda dan baru tempatan dalam bidang seni sebagai platform menampilkan karya-karya mereka.
Melalui program berkenaan, kreativiti mereka akan diangkat ke hadapan dan menyumbang kepada pembangunan dunia seni kontemporari tanah air.
Kurator pameran ialah Awang Khairul Ibrahim dan Shathirah DHS di bawah penyeliaan Pengarah Galeri Creative Space Art Gallery & Studio, Haji Osman bin Mohammad.Creative Space sebelum ini telah berjaya melaksanakan tiga pameran seni di bawah Program Emerge.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan menyaksikan pameran di kedutaan berkenaan di Simpang 52, Kampung Manggis Satu, yang akan dibuka setiap Isnin hingga Jumaat selama 10 hari dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2:30 petang hingga 4:30 petang.