Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Keeksklusifan ndop diancam barangan tiruan

    BATIE, CAMEROON – Wambesso Fankam kelihatan menonjol dengan anggun daripada orang ramai semasa upacara pengebumian di barat Cameroon.

    Sebagai seorang putera, dia adalah antara beberapa orang yang terpilih yang secara tradisinya berhak memakai fabrik indigo terang yang menarik perhatian dengan corak putih yang rumit.

    “Ia adalah ndop, bukan semua orang boleh memakainya,” katanya dengan bangga, diiringi dengan paluan gendang tam-tam dan balafon, sejenis xylophone, di pekan barat Batie.

    Pakaian beristiadat itu sebelum ini dikhususkan untuk ketua-ketua, orang-orang kenamaan dan ahli-ahli kongsi gelap di negara Afrika tengah itu. Tetapi budaya itu kini diancam oleh barang tiruan yang dijual dengan murah dan tidak berkualiti.

    Motif Ndop mudah dikenali, sering menggunakan imej haiwan atau bentuk geometri, dilukis pada kain kapas kemudian disulam dengan raphia sebelum bahan tersebut diwarnakan biru. Kekayaan kualitinya disebabkan oleh banyak kombinasi simbol berbeza yang boleh direka pada ndop.

    Pakaian dan aksesori tradisional yang dibuat dengan fabrik Ndop di pasar B di Bafoussam. – AFP
    Momo Sylvie (kanan) dan Yougo Solange (kiri), mengusahakan fabrik ndop untuk mencipta corak di Baham. – AFP
    Gambar menunjukkan aksesori tradisional yang dibuat dengan fabrik Ndop. – AFP
    Yougo Solange menjahit corak pada kain ndop. – AFP
    Seorang peniaga memegang sehelai kain ndop di kedainya di Pasar B di Bafoussam. – AFP

    Cameroon dipercayai mempunyai 13,500 ketua puak di 10 wilayahnya, dan di utara dan pergunungan di barat, ketua-ketua puak dilihat sebagai penjaga tradisi, di mana ndop dan budayanya masih kuat diamalkan. Pernah menjadi panglima perang dan penguasa keadilan, kini kuasa ketua hanya terhad kepada pertikaian warisan atau perkahwinan.

    Namun begitu ndop adalah ‘elemen ritual paling penting’ di kalangan kumpulan puak utama barat, Bamileke, kata Hermann Yongueu, ketua kumpulan Sauvons le Ndop (Selamatkan Ndop) yang cuba mengekalkan warisannya.

    Menghasilkan kain bukan sesuatu yang murah dan ia mengambil masa beberapa hari dan memerlukan pengetahuan khusus. Harga untuk sehelai kain ndop boleh naik sehingga 100,000 CFA franc (kira-kira 150 euro) sesuatu yang berharga di Cameroon di mana satu pertiga daripada penduduk hidup dengan kurang daripada dua euro sehari.

    Pakaian diraja
    Kembali ke Batie, kain ndop secara simbolik digantung pada pagar kayu di pintu masuk utama ke pengebumian. Seorang wanita memakai gaun panjang sepenuhnya dari kain ndop.

    “Dia adalah salah seorang daripada segelintir yang memakai pakaian ndop kerana dia seorang permaisuri,” kata Gisele Monkam, yang mengiringi ketua adat.

    Ndop kebiasaannya memaparkan “lukisan yang melambangkan cara hidup,” kata Arsene Ngandjouong, ketua sebuah muzium di kampung Bangoua di barat negara itu.

    Salah satu motif utama ialah “bulatan yang mewakili keduaan dunia Bamileke, komunikasi antara yang hidup dan yang mati,” tambahnya.

    Duduk berhampiran pintu rumah yang diperbuat daripada bata lumpur di Baham, bandar utama di dataran tinggi barat tempat ndop masih dihasilkan, tukang Solange Yougo, 52, sibuk dengan sehelai kain yang telah diusahakannya selama lebih seminggu.

    Menghasilkan ndop sangat susah, dengan beberapa kain yang memiliki panjang berukuran sehingga 15 meter mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

    “Saya menambah sentuhan terakhir,” katanya. Kain yang siap akan berwarna putih dengan warna indigo.

    Di atas bangku buluh, sepupunya, Sylvie Momo, 50, memegang sehelai kain yang sudah dicelup.

    Kementerian Kesenian dan Kebudayaan Cameroon mengisytiharkan ndop sebagai sebahagian daripada warisan kebangsaan rasminya pada Februari 2020 dan ada juga yang mahu ia diberi status UNESCO sebagai perlindungan selanjutnya.

    Walaupun ia pernah dikhaskan secara ketat untuk golongan diraja dan bangsawan, ndop telah kehilangan keeksklusifannya dengan cepat, sehingga beberapa motifnya kini muncul pada botol minuman keras serta pembalut berkualiti rendah dan boubous, pakaian longgar yang popular merentasi Afrika Barat.

    “Ia malah menjadi tidak dihormati,” keluh ketua muzium Ngandjouong.

    “Dulu apabila seseorang yang tidak berhak memakai ndop, mereka perlu membayar denda,” kata Putera Fankam.

    “Tetapi perkara yang paling penting ialah kami menyampaikan pengetahuan tentang cara membuatnya,” kata Hermann Yongueu.

    “Sebelum ini kain ndop dikawal oleh ketua-ketua dan raja-raja bagi memastikan ilmu pengetahuan diturunkan kepada anak-anak pembuat. Dari umur tujuh tahun, kanak-kanak memulakan perantisan mereka.” Tetapi hari ini hanya beberapa orang muda bersedia untuk mempelajarinya, kerana mereka lebih suka pekerjaan yang lebih menguntungkan.

    Yang lain berharap bahawa sedikit kegemilangan yang dicerminkan oleh fabrik itu di luar negara mungkin menarik kembali, dengan rumah fesyen mewah Perancis Hermes menggunakan motif ndop dalam salah satu koleksi selendang suteranya empat tahun lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...