Keenakan Mi Kari Sapit Biru resipi warisan nenek

Oleh Nurdiyanah R.

Seperti mengalirnya air di sungai, begitulah semangat juang yang dimiliki oleh insan ini dalam meniti dunia keusahawanan yang penuh warna-warni menghiasi tanah air kita, tetap berjuang meski mengetahui dunia berjual beli ini ada pasang surutnya, membawa seribu harapan demi meraih rezeki dalam kehidupan seharian.

“Dunia keusahawanan ini sememangnya sudah sebati dalam kehidupan saya sejak kecil lagi, lebih-lebih lagi persekitaran keluarga terutamanya ayah saya yang begitu minat dalam dunia perniagaan sejak dahulu lagi.

“Saya terdetik hati mengetengahkan hidangan istimewa dikenali sebagai Mi Kari Udang Galah atas cetusan ilham ayah saya sendiri yang begitu minat dalam bidang kulinari, lebih-lebih lagi inilah resipi istimewa warisan daripada nenek tersayang,” kata Awang Muhammad Danial Radhi bin Kenaddy selaku Pengurus A9 Cafe semasa ditemui penulis di Pekan Bangar, Daerah Temburong, baru-baru ini.

Udang Galah Sapit Biru menjadi pilihan

Awang Muhammad Danial menjelaskan keistimewaan hidangan itu terletak pada udang galah yang digunakan, sejenis udang galah tempatan diperolehi di perairan sungai sekitar daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau’ tersebut.

“Udang Galah Sapit Biru yang segar menjadi pilihan utama kami dalam hidangan istimewa ini yang kebanyakan didapati daripada para pembekal udang galah yang terdiri daripada masyarakat di daerah berkenaan. Hal ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan perekonomian masyarakat setempat dengan menerapkan prinsip ‘support local’,” jelasnya yang turut dibantu oleh ahli keluarga dalam menjalankan perniagaan kafe berkenaan.

Awang Muhammad Danial (kanan hadapan) bersama warga kafenya semasa ditemui penulis di Pekan Bangar, Daerah Temburong, baru-baru ini.
Selain menggunakan Udang Galah Sapit Biru yang segar iaitu jenis udang tempatan Daerah Temburong, lebih menyelerakan lagi apabila tumisan kari disediakan secara ‘homemade’ dengan pelbagai gabungan air rebusan udang dan ayam serta daun kari menaikkan aroma, selain dari menggunakan bahan-bahan utama seperti mi rebus dengan ditambah lagi bahan-bahan lain seperti tauhu dan telur rebus.
Udang Galah Sapit Biru segar pilihan utama dalam hidangan istimewa berkenaan yang ke-banyakan diperolehi daripada para pembekal udang galah yang terdiri daripada masyarakat Daerah Temburong.

Tumisan kari ‘homemade’

Lebih menyelerakan lagi, tumisan kari disediakan secara ‘homemade’ dengan pelbagai gabungan air rebusan udang dan ayam serta daun kari juga digunakan untuk menaikkan aroma, selain dari menggunakan bahan-bahan utama seperti mi rebus ditambah lagi bahan-bahan lain seperti tauhu dan telur rebus.

Dalam pada itu, pengusaha hidangan istimewa yang kini berusia 19 tahun ini turut menyatakan bahawa kebiasaannya mereka menyediakan tiga kali pusingan set hidangan dalam sehari iaitu lebih 100 set. Namun ia bergantung kepada stok udang galah daripada para pembekal tempatan.

Jelasnya lagi, dengan harga berpatutan kurang daripada $10, setiap hidangan mengikut saiz udang galah boleh dipesan awal untuk dibawa pulang atau memesan untuk bawa pulang ketika berkunjung ke kedainya.

Namun bagi memberi kemudahan kepada para pelanggan yang berada di luar daerah agar tidak ketinggalan untuk menikmati hidangan istimewa berkenaan maka beliau juga turut membukakan tempahan secara dalam talian sekurang-kurangnya sehari atau dua hari sebelum tarikh pengambilan.

Yakin rezeki daripada Allah SWT

Di samping itu, insan bersemangat tinggi ini turut menjelaskan bahawa dalam meniti dunia kehidupan sehari-hari, pengalaman dan ilmu adalah segalanya. Namun segalanya akan menjadi sia-sia tanpa adanya usaha dan doa.

Walaupun terlalu banyak persaingan dalam dunia perniagaan ini, usahawan belia ini percaya rezeki itu datangnya daripada Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk dan juga perkhidmatan dengan sebaik-baiknya.

“Sudah semestinya dalam menyediakan masakan, perlulah menitikberatkan kebersihan dari segala aspek tertentu meliputi bahan-bahan resipi termasuklah ramuan yang segar dan begitu juga penggunaan perkakas serta kebersihan diri.

Hal ini amat penting dititikberatkan agar kualiti sentiasa terjamin untuk para pelanggan,” tegasnya dengan penuh keyakinan yang turut bersyukur dengan sambutan yang amat memberangsangkan daripada orang ramai yang bukan sahaja dari penduduk setempat bahkan luar daerah terhadap hidangan berkenaan, lebih-lebih lagi sejak pembukaan Jambatan Temburong.

Teruslah bangkit menerokai dunia keusahawanan

Dalam pada itu, Awang Muhammad Danial yang berasal dari Kampung Sibulu, daerah berkenaan juga menyatakan bahawa apa pun perniagaan yang kita ceburi itu pasti akan membuahkan hasil pengorbanan daripada titik peluh selama ini.

Oleh itu perlu diingat bahawa kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba.

Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat kita untuk bangkit dan terus bangkit.

“Oleh itu, bangkit dan keluarlah dari zon keselesaan serta sentiasa membuka minda untuk menerokai perkara-perkara baharu, itulah yang perlu disemai dalam jiwa masyarakat di negara ini untuk sentiasa berpegang teguh kepada sikap berjarih, berkarih dan belurih dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

“Selain itu, pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dengan penuh istiqamah dan juga usaha yang tidak pernah kenal penat lelah. Sentiasalah memohon pertolongan kepada Allah SWT demi mengharapkan segala kemudahan atau urusan dipermudahkan.

Itulah kunci kejayaan yang sebenarnya. Biarlah segala yang kita lakukan semuanya keranaNya,” nasihat beliau dengan penuh keyakinan yang juga merupakan salah seorang penuntut tahun akhir yang mengikuti pengajian peringkat Higher National Diploma di Politeknik Brunei, kepada masyarakat di negara ini khususnya usahawan tempatan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama wartawan Media Permata, baru-baru ini.