IPOH – Sambutan Deepavali bagai tidak bermakna tanpa hidangan kuih tradisional muruku, yang menjadi kudapan kegemaran bukan sahaja kaum India tetapi juga semua lapisan masyarakat di Malaysia.
Pengusaha muruku di Kampung Kacang Putih, Buntong, J. Ganesan, 42, berkata muruku yang dihasilkan keluarganya sejak tiga generasi lalu, yang sentiasa mendapat tempahan pelanggan di luar musim perayaan, mendapat permintaan tinggi sejak sebulan lepas.
Beliau berkata perniagaan turun-temurun itu dimulakan sejak 60 tahun lepas oleh datuknya, N.Ammamuthu dan diteruskan mendiang bapanya A.Jayabalan yang meninggal dunia pada 2020 lalu.
Uniknya, muruku yang dijualnya menggunakan resipi diwarisi daripada datuknya kepada mendiang bapanya hinggalah ke hari ini dan masih mengekalkan bahan yang sama.
Ganesan berkata tidak ada sebarang olahan dilakukan sejak 60 tahun dan bahan digunakan perlu mengikut sukatan yang telah ditetapkan.
Bancuhan tepung dibuat secara manual dengan tangan dan tidak boleh dibancuh dalam kuantiti yang banyak, kerana bimbang kualiti dan rasa muruku akan terjejas.
KEISTIMEWAAN MARUKU GANESAN
Keistimewaan muruku Ganesan terletak kepada kerangupan dan bahan rempah khas yang digunakan, menjadikan makanan itu sesuai dimakan pada bila-bila masa.
“Ada sesetengah muruku mungkin agak tebal dan terlalu keras, adakalanya tidak terasa rempah ratus yang digunakan. Kami tidak mengatakan produk kami yang terbaik, namun semua perkara itu kami jaga.
“Itulah sebabnya kami fokus kepada satu produk sahaja dan tidak mengusahakan produk atau kekacang yang lain, kerana kami mahu jaga kualiti yang dihasilkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Ganesan berkata murukunya sentiasa mendapat tempahan tempahan daripada pengedar seluruh Perak dan dari luar ini sama ada daripada syarikat ataupun individu dan permintaan biasanya meningkat bukan hanya pada perayaan Deepavali tetapi juga Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.
Genesan berkata nama Kampung Kacang Putih di Buntong sudah sinonim dengan masyarakat di Malaysia dan ia turut memainkan peranan perkembangan perniagaannya.
“Kacang Putih ialah lambang dan simbol kejayaan keluarga dan masyarakat Buntong yang mengusahakan perniagaan ini, memang kami terima maklum balas daripada orang ramai kacang putih dari Ipoh antara yang terbaik.
“Saya masih ingat lagi kami ikut ayah berniaga kecil-kecilan di pasar malam, rumah ke rumah, bawah pokok malah adakalanya ke Batu Caves berniaga, tetapi kini tidak
lagi, penggemar kacang putih sendiri yang datang ke Buntong,” katanya yang menjual murukunya pada harga RM20 satu balang kepada pembekal dan kebiasaannya pembekal akan menjual dengan harga RM25 hingga RM27.
WARISI PERUSAHAAN KELUARGA
Sementara itu, isterinya T. Kavitha, 37, berkata beliau berbangga menjadi sebahagian daripada pembuat dan pengusaha muruku di Buntong.
“Perusahaan muruku telah lama menjadi sumber pendapatan keluarga suami saya sebelum ini, jadi kami sepakat meneruskan tradisi itu yang kekal hingga ke hari ini,” katanya yang kini turut melatih tiga anak perempuannya, agar warisan sedia ada tidak hilang dan akan mengalir dari generasi ke generasi.
“Setakat ini mereka didedahkan dengan cara membancuh adunan dan proses membentuk muruku termasuk membungkus, manakala proses memasak akan dikendalikan sendiri oleh suami.
“Memang suami saya terapkan anak-anak kami supaya mempelajari setiap proses terbabit supaya mereka faham dan belajar agar legasi perniagaan ini dapat diteruskan kelak,” katanya. – Bernama