Keeping Up With The Kardashians belum berakhir, dijangka sambung tayangan di platform digital

Program realiti popular Keeping Up with the Kardashians dikatakan tidak akan berakhir apabila sumber memberitahu keluarga Kardashian merancang menyambung rancangan berkenaan menerusi platform digital.

Menerusi laporan Page Six, keluarga tersebut menerima tawaran bekerjasama dengan beberapa platform digital antaranya Netflix, Apple TV dan Amazon Prime.

“Ada tawaran lebih baik dalam platform digital dan pasarannya lebih terbuka seluruh dunia,” kata sumber terdekat.

Selain itu, mereka juga dikhabarkan akan memulakan produksi sendiri tidak lama lagi, bagaimanapun sumber enggan mendedahkan maklumat lanjut.

Sebelum rancangan tersebut disambung semula, keluarga selebriti itu menyatakan hasrat berehat seketika daripada tumpuan media dan peminat.

“Mereka bersedia menerima apa sahaja tawaran tetapi buat masa ini me-reka mahu berehat dahulu,” ujarnya.

Program realiti TV itu telah bersiaran selama 14 tahun dan sehingga menjadikan adik-beradiknya, ibu bapa, rakan kongsi dan anak-anaknya sebagai bintang yang popular.

Musim terakhir iaitu yang ke-21, akan ditayangkan pada awal 2021.

Sebilangan ahli keluarga Kim belum dikenali ketika program ini dimulakan pada tahun 2007.

Tayangan ini pada awalnya difokuskan kepada kehidupan Kim dan adik-beradiknya termasuk Kourtney dan Khloe dan pasangannya, termasuk bekas teman lelaki Kourtney, Scott Disick, bekas suami Kim, Kris Humphries dan bekas suami Khloe, Lamar Odom. – Agensi