Keeping Up with the Kardashians tamat tahun depan

Selepas hampir 14 tahun program realiti Keeping Up With the Kardashians bersiaran, ia bakal ditamatkan tahun depan untuk musim ke-20.

Pengumuman itu dibuat wakil keluarga Kardashian iaitu Kris Jenner selain mengesahkan musim ke-19 akan disiarkan pada 17 September ini.

“Dengan berat hati kami mengucapkan selamat tinggal kepada Keeping Up with the Kardashians. Selepas 14 tahun, 20 musim, ratusan episod dan beberapa pertunjukan sampingan, kami akhirnya memutuskan untuk mengakhiri perjalanan yang sangat istimewa ini,” kata ibu kepada keluarga Kardashian ini di Instagram.

Walaupun pengumuman yang dibuat amat berat untuk diterima, namun mereka terpaksa akur dengan pilihan yang dibuat.

“Kami sudah melalui saat-saat indah dan buruk, kebahagiaan, air mata dan banyak hubungan serta anak-anak. Kami akan sentiasa menghargai kenangan indah dan orang yang kami temui selama ini,” katanya.

Menerusi hantaran itu, Jenner turut memberi penghargaan kepada penerbit Ryan Seacrest. Musim terakhir program realiti itu ditayangkan pada awal tahun depan.

Keeping Up with the Kardashians dilancarkan pada 14 Oktober 2007 dan program itu bermula dari idea Jenner yang juga ibu kepada Kim dan Khloe dan Kourtney.

Pada 2006, Jenner merasakan penampilannya bersama keluarga di sebuah televisyen dapat menciptakan drama yang menarik.

Hal ini merujuk kepada kehidupan peribadi Kim yang kerap menjadi tatapan umum selepas sering digosipkan menjalin kasih dengan ramai selebriti terkenal Hollywood. – Agensi

Keeping Up With the Kardashians bakal ditamatkan tahun depan untuk musim ke-20. – Agensi