Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) dengan kerjasama Yusof Halim & Partners meneruskan lagi siri dialog bulanan ‘Bicara Undang-undang’ ke-4 yang diadakan di Bilik Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, petang tadi.
Siri dialog yang bermula dari jam 2:30 petang hingga 4:30 petang itu kali ini memfokuskan mengenai ‘Masalah Perebutan Anak Siapa yang Lebih Berhak’.
Siri bicara itu telah pun disampaikan oleh Peguam Syarie dari Yusof Halim & Partners, Dayang Noor Aina Laily binti Hashim yang menyentuh mengenai dengan hak penjagaan anak, nafkah anak, hak lawatan dan juga tanggungjawab anak terhadap ibu bapa.
Menurutnya, hak penjagaan anak atau Hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum berdikari, ia juga termasuk menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.
Beliau juga turut menyentuh mengenai hak penjagaan anak-anak kandung yang mana beliau menyatakan bahawa ia adalah tertakluk kepada Bab 89 yang menyatakan ibu adalah orang yang paling layak bagi menjaga kanak-kanak yang belum mumaiyiz dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Beliau menjelaskan lagi bahawa jika mahkamah berpendapat bahawa ibu hilang kelayakan di bawah hukum syarak dari memiliki hak penjagaan anak-anaknya, maka hak itu tertakluk kepada ceraian tertentu.
Dayang Noor Aina Laily kemudian menerangkan mengenai dengan definisi ‘anak tak sah taraf’ yang mana ia bererti anak itu dilahirkan bukan melalui ikatan perkahwinan yang sah atau kurang daripada enam bulan anak itu dilahirkan selepas perkahwinan kedua-dua ibu bapanya.
Beliau juga turut menyentuh mengenai dengan hak penjagaan anak angkat yang mana anak angkat ialah anak orang lain yang dijadikan anak sendiri dijaga dan dipelihara serta diberi nafkah.
Dalam dialog itu beliau juga menerangkan nafkah anak kandung, nafkah anak angkat dan juga nafkah ‘anak tak sah taraf’, hak lawatan dan juga tanggungjawab anak terhadap ibu bapa.