YANGON, 27 Ogos – Serangan pemberontak telah menjadi-jadi di negeri utara Rakhine, Myanmar dengan enam lagi orang awam terbunuh dalam gelombang baru serangan hendap oleh pemberontak bayangan, menurut Pejabat Kaunselor Kerajaan hari ini
Orang awam yang terbunuh termasuklah beberapa ketua kampung dan seorang kanak-kanak di perbandaran Maungtaw, yang disyaki pemberi maklumat kerajaan. Kumpulan pemberontak juga menyerang hendap sebuah konvoi polis dengan bahan letupan improvisasi, yang mengorbankan seorang pemberontak.
Dalam satu lagi kejadian pada hari ini 150 orang pemberontak bersenjatakan parang, cuba menyerang pasukan keselamatan tetapi serangan mereka itu ditangkis. Polis di pos kawalan luar Kyunpauk Pyusu juga menghalang kira-kira 300 orang pemberontak yang menghampiri pos kawalan itu.
Para pemberontak membakar sebuah kampung di Myinlut, memusnahkan 88 buah rumah, lebih 100 buah kedai, dua buah masjid, lapan sekolah agama, sembilan buah kenderaan dan empat buah motosikal dan kemudian lari ke gunung Mayu. Juga kira-kira 500 orang lagi pemberontak cuba untuk memasuki sebuah kampung di perbandaran Yethedaung tetapi berdepan tentangan. Pasukan keselamatan telah dikukuhkan untuk memerangi para pemberontak. Mengikut Undang-Undang Cegah Pengganasan, pihak berkuasa Mynamar mengisytiharkan penyerang-penyerang bersenjata dan Askar Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA) sebagai kumpulan pemberontak pelampau. – Xinhua