Oleh Dr B.A. Hussainmiya menulis dari Colombo, Sri Lanka
Satu penilaian ringkas tentang perayaan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta
SAMBUTAN Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada 5 Oktober tahun ini akan menjadi peristiwa yang menempa sejarah Brunei Darussalam.
Baginda adalah pemimpin yang memerintah paling lama di Asia Tenggara dalam semua erti kata.
Tidak ada sesiapa dalam sejarah Brunei yang telah memerintah negara untuk tempoh yang begitu lama dan catatan Sejarah Brunei sebagaimana yang dibuktikan oleh babad sejarah “Silsilah Raja-raja Berunai” juga tidak memberikan bukti yang kukuh tentang pemerintahan yang sebegitu lama oleh mana-mana sultan ketika zaman pertengahan. Dalam satu segi, masih terlalu awal untuk membuat penilaian tentang raja berperlembagaan yang masih menduduki takhta.
Dari satu segi, seseorang perlu menunggu agak lama untuk menilai kesan jangka panjang pemerintahan Baginda dan bagaimana ia memberi kesan kesejahteraan kepada generasi akan datang. Bakal ahli sejarah mempunyai kedudukan lebih baik untuk menilai kesan pemerintahan Baginda Sultan apabila dokumen arkib boleh diperoleh untuk tatapan orang awam. Namun esei ini merupakan satu percubaan untuk memberi komen pendek tentang pencapaian yang telah dilakukan oleh Baginda sebagai pemimpin berdaulat dalam tempoh 50 tahun pemerintahan Baginda.
Sebagai seorang sejarawan yang telah menjalankan penyelidikan tentang sultan-sultan Brunei, terutamanya Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, penulis mempunyai pandangan untuk dikongsikan dengan menempatkan tempoh pemerintahan Baginda Sultan sekarang dalam konteks segala yang telah dicatat dalam sejarah berperlembagaan Brunei. Lambat laun penulis mungkin perlu menunggu masa yang sesuai untuk membuat kajian yang sesuai dan lengkap.


Pertama sekali, untuk bertahan selama 50 tahun sebagai raja berperlembagaan eksekutif dalam era moden merupakan satu pencapaian yang mengagumkan. Buat masa sekarang Baginda adalah raja berperlembagaan paling lama selepas Ratu Elizabeth II dari England tetapi dengan perbezaan. Ratu Britain ialah raja berperlembagaan beristiadat dan bertindak dalam tradisi perlembagaan tidak bertulis Great Britain.
Sebaliknya, Sultan Brunei memerintah dan mentadbir serentak yang bermakna selain menjadi pemimpin negara, Baginda juga seorang pemerintah eksekutif, walaupun Baginda mendapat mandat yang sah daripada Perlembagaan Brunei bertulis yang pertama diisytiharkan oleh paduka ayahanda Baginda, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada tahun 1959. Sudah tentunya, Perlembagaan menjalani penyemakan besar pada tahun 2004 yang memberikan kuasa mutlak kepada sultan sebagai pemerintah bebas berdaulat dengan kuasa yang tidak dinikmati oleh mana-mana pemimpin sebelum ini. Malah pemerhati Barat mungkin mencirikannya sebagai raja berkuasa mutlak.
Apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengambil alih pemerintahan kerajaannya pada tahun 1967, Brunei bukan sebuah negara yang merdeka sepenuhnya. Walaupun pemerintahan Residen Britain yang diperkenalkan pada awal tahun 1906 berdasarkan Perjanjian Britain-Brunei dibatalkan pada 1959 dengan pengisytiharan perlembagaan bertulis pertama, pemerintah Brunei terpaksa menurut perintah kerajaan Imperial terutamanya dalam bidang hal ehwal luar negara. Pemerintahan sultan sekarang menyaksikan pemerolehan kedaulatan penuh oleh Brunei pada tahun 1984. Bagaimana Baginda dan paduka ayahanda Baginda, mencapai kemerdekaan ini merupakan satu lagi kisah panjang.
Di sinilah terbuktinya pencapaian besar pertama dalam pemerintahan Baginda. Dengan jumlah penduduk dan saiz negara yang kecil, negara Baginda menjadi perhatian dunia moden yang menghadapi pelbagai cabaran dalam dan luar. Sultan ketika era sebelum Britain, yang mengamalkan hegemoni di pantai Borneo dan tanah Sulu, terpaksa mengendali wilayah besar yang bermasalah. Dengan berlalunya masa, mereka terus kehilangan sebahagian kawasan negara mereka terutamanya disebabkan pencerobohan oleh pengembara asing. Apabila sultan sekarang mengambil alih kuasa, Baginda tidak menghadapi masalah sedemikian dalam mengawal dua enklaf yang tinggal di Brunei, namun masih terpaksa menghadapi isu di luar negaranya.
Timbulnya kemungkinan negara kecil Brunei mungkin didambakan oleh negara jiran berpengaruh di samping kuasa jajahan yang lebih unggul dari segi tentera. Bagaimana Baginda berjaya menjauhkan diri daripada mereka, terutamanya negara jiran yang bersaing adalah satu kisah yang amat mengagumkan.
Pada hakikatnya, Great Britain selepas dasar dasar Suez Timur sejak tahun 1967 berkeras untuk memutuskan hubungan dengan Brunei dengan membebaskannya yang sekali gus mendedahkan Brunei kepada ancaman luar.
Memberikan kemerdekaan terlalu awal sebelum negara bersedia untuk menggalas tanggungjawab sedemikian mungkin telah mewujudkan satu kekosongan untuk permainan rebut kuasa.
Ia bergantung pada kebijaksanaan sultan untuk bertindak perlahan-lahan ke arah pencapaian kemerdekaan meskipun menerima tekanan dari dalam dan luar negara. Justeru itu, Baginda dilaporkan telah berkata dalam Mesyuarat Komanwel pada tahun 1999 bahawa negaranya enggan menerima kemerdekaan awal walaupun apabila ia dipaksa ke atas Brunei.
Sebagai langkah persediaan, Baginda membiasakan dirinya dengan rakyat dan mendengar pandangan mereka serta memperkenalkan diri Baginda sebagai pemerintah. Tambahan pula, Baginda mula menubuhkan birokrasi tempatan, mengganti ekspatriat Britain dalam perkhidmatan awam dengan rakyat Brunei dan Baginda bertindak keras ke atas rasuah.
Secara beransur-ansur, satu teknokrasi mulai wujud yang bertujuan mengambil alih pelbagai fungsi pentadbiran untuk mengendali negara. Dengan demikian, ketika tempoh pemerintahan Baginda, institusi lebih tinggi ditubuhkan termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Selain daripada itu, Baginda menggabungkan pendidikan Islam menerusi penubuhan Institut Tahfiz Al-Quran dan bentuk pendidikan agama lain serta penyelidikan dalam sekolah dan universiti.
Apabila Brunei memperoleh kedaulatan penuh pada tahun 1984, ia membuka laluan kepada pemindahan kuasa yang tinggal daripada tangan Britain. Adalah benar sehingga masa itu Sultan, seperti yang mungkin dijangkakan, menerima tunjuk ajar daripada paduka ayahanda Baginda yang berpengalaman, dan dalam era selepas kemerdekaan, Baginda Sultan menjadi dewasa dan mulai menggunakan kuasa dan kewibawaan Baginda untuk memimpin Brunei dengan selamat dan kukuh sebagai sebuah negara moden.
Di bawah pemerintahan Baginda, Brunei telah berkembang maju dalam setiap bidang seperti pendidikan, kesihatan, kebajikan, persediaan tentera, perkhidmatan sosial, sukan dan sebagainya.
Meskipun bergantung pada eksport minyak dan gas untuk menampung ekonomi negara, Baginda telah membawa negara keluar daripada kekalutan walaupun ketika kemelesetan ekonomi yang menjejas negara Asia Tenggara lain pada tahun 1997 dan selepas itu. Rakyat Brunei tidak terjejas daripada kesan negatif kegawatan ekonomi. Tanpa mengira situasi ekonomi, Brunei terus menyokong dasar kebajikannya dalam sektor perumahan, kesihatan dan pendidikan.
Tambahan pula, projek infrastruktur semakin maju dengan siapnya pembinaan jambatan penghubung dari bandar merentangi Kampong Ayer sementara persediaan sedang dijalankan untuk membina satu laluan perhubungan darat ke Temburong dengan pembinaan jambatan paling panjang pada kos beberapa bilion.
Dari segi politik, Baginda Sultan telah membuka ciri-ciri perangkuman dalam pentadbiran dengan menghidupkan semula Majlis Mesyuarat Negara sejak 2004.
Dengan memperkenalkan pindaan penting pada 2004 kepada perlembagaan asal tahun 1959, Baginda telah memperbaiki kelemahan untuk memastikan kestabilan dalam penggubalan dasar negara dan institusi pentadbiran.
Seperti paduka ayahandanya, Baginda percaya dalam kemajuan beransur-ansur, terutamanya dalam pembukaan hak asasi manusia dan isu kebebasan. Dengan mengukuhkan sistem pemerintahan beraja dan institusi kerajaan terlebih dahulu, Baginda Sultan berharap dapat membawa negaranya ke era pemodenan dengan kestabilan.
Sudah tentunya daripada perspektif luar, apa yang telah dicapai di Brunei dari segi penyertaan de facto berdasarkan pilihan raya dan parti politik masih tidak wujud. Bagaimanapun, seseorang harus melihat pada gambaran menyeluruh di Brunei untuk menjamin keamanan, kemakmuran dan keselamatan sebagaimana yang kerap dititik beratkan dalam titah-titah Baginda Sultan.
Dilancarkan secara rasmi sejak tahun 1984 dan sekali lagi diisytiharkan pada awal tahun 1990, Baginda Sultan selalu mengingatkan rakyatnya supaya berpegang teguh pada falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai alternatif kepada huru-hara dan bantahan.
Penyelesaian konflik paling baik diselesaikan dengan ‘Cara Brunei’ yang berusaha mencapai kompromi dan perdamaian. Segelintir orang tidak akan bersetuju bahawa Brunei mempunyai hak untuk mengamalkan dasar neo-tradisional, sesuatu yang sukar untuk difahami oleh kebanyakan orang luar.
Menurut mereka buktinya adalah pada masa apabila orang ramai berasak-asak untuk melihat dan mencium tangan Baginda sebagai tanda kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi.
Melihat Baginda Sultan secara lebih dekat mendedahkan satu lagi sifat yang jarang dilihat oleh media antarabangsa di mana Baginda disayangi dan dihormati oleh rakyat Brunei.
“Baginda adalah raja yang penuh belas kasihan dan pemurah hati,” begitulah pendapat umum rakyat Brunei. Setiap kali selepas berlaku sesuatu bencana alam, Baginda akan mengunjungi tempat bencana dan melawat rakyat Baginda, memberikan mereka apa-apa yang diperlukan, baik bantuan kecemasan mahupun tanah.
Baginda mudah diziarahi oleh rakyat, tidak seperti pemimpin dunia lain ketika perjumpaan dan Baginda bergaul bersama rakyatnya. Mereka mengadu dan Baginda mendengar dan bertindak apabila permintaan adalah munasabah untuk dipenuhi. Boleh dikatakan ia merupakan cara hidup Brunei berlandaskan falsafah MIB atau demokrasi.
Contoh pemerintahan mutlak ketimuran
Dengan menjadi pemimpin rakyat, Baginda sesuai dalam beberapa segi, menjadi contoh pemerintah mutlak ketimuran atau pemerintah mutlak yang baik hati dalam istilah Max Weber dan Wittfogel yang mempelajari sistem kerajaan ketika maharaja agung termasuk Mauryan Asoka Agung dan Akbar Agung, maharaja Mogul India.
Baginda pastinya seorang raja yang baik hati yang mengawal ketat integriti negaranya dan disayangi oleh kebanyakan rakyatnya.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia, pemimpin aliran sederhana telah mencatat kemajuan sepanjang tahun dengan memperkukuhkan kawalannya ke atas keluarga dan kerajaan serta berjaya mengatasi beberapa peristiwa malang seperti Krisis Amedeo pada akhir tahun 1990.
Menerusi diplomasi dan perdamaian pula, Baginda menerima semua orang secara baik dan pada masa yang sama berjaya membendung sebarang konflik yang menjadi tidak terkawal yang pada akhirnya menjamin persahabatan dan kasih sayang dalam kalangan mereka. Baginda Sultan memberi penekanan terhadap kesejahteraan rakyatnya dari segi fizikal dan rohaniah. Baginda sendiri menjadi contoh terbaik. Baginda sentiasa memantau kesihatannya dan sentiasa penuh bertenaga untuk menyelia hal ehwal negara. Demi menjaga kesihatan, Baginda Sultan bermain polo, skuasy dan badminton. Baginda juga seorang juruterbang berkelulusan untuk menerbangkan kapal terbang dan helikopter.
Baginda Sultan juga pemimpin tertinggi agama Islam. Agama Islam semakin bertapak kukuh tatkala Sultan memimpin negara ke arah pencapaian matlamat ideal untuk menjadi negara Islam sebenar dengan memperkukuh undang-undang dan amalan syariah. Sudah tentunya ia merupakan satu tugas yang sukar untuk menyesuaikan agama dengan undang-undang umum inggeris yang sudahpun berakar berumbi dalam jiwa dan undang-undang rakyat.
Tidak diragui Baginda Sultan ialah seorang penyokong humanisme, dermawan dan sarwajagawan (universalist). Dalam hal ehwal tempatan, yayasan amal kebajikan keluarga Baginda, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) sedang menjalankan perkhidmatan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk yang serba kekurangan. Di peringkat antarabangsa, Baginda telah menubuhkan sebuah yayasan untuk menganugerahi hadiah di bawah nama Baginda untuk pemimpin dunia paling berjaya dalam kerja-kerja amal pendidikan.
Selain daripada ramai sarjana Islam yang termasyhur, pemimpin dunia telah pun dikurniakan Anugerah ‘Sultan Hassanal Bolkiah International Prize’ oleh Baginda. Yang terbaru dalam siri berkenaan adalah apabila pada tahun 2016, seorang tokoh penting dikurniakan anugerah tersebut. Juri Antarabangsa yang dipilih oleh Pusat Kajian Islam Universiti Oxford, mengumumkan pemenang anugerah ‘Sultan Hassanal Bolkiah International Prize in Islamic Finance’ ketika majlis Inaugural Lecture Series apabila Sir John Major menyampaikan tajuk mengenai ‘Dunia Tanpa Pedoman.’
Ia merupakan keputusan sebulat suara oleh juri antarabangsa untuk menganugerahi ‘The 2016 Sultan Hassanal Bolkiah International Prize in Islamic Finance’ kepada Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi dan kepada Dr Ahmad Mohamed Ali memandangkan sumbangan peribadinya.
Dalam arena antarabangsa, alternatif dasar luar negara Baginda Sultan sedang dilaksanakan dengan penuh pragmatisme tatkala Baginda mengimbangi keberkecualian negaranya dalam hal ehwal dunia. Baginda adalah pemimpin yang amat disegani dalam negara-negara Komanwel, ASEAN, OIC dan forum antarabangsa lain yang disertai oleh Brunei. Satu-satunya matlamat Baginda adalah menjauhkan Brunei daripada kesan sampingan antarabangsa ketika berlakunya konflik. Dalam salah satu titah Baginda pada tahun 2005 kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai matlamat milenium, Baginda antara lain bertitah:
“Kami akan semakin terjejas oleh apa yang berlaku di luar sempadan kami. Dan kami akan menjadi semakin bergantung pada dunia luar. Ini hanya bermakna satu perkara. Keamanan masa depan, kemakmuran dan keyakinan bergantung bukan sahaja pada diri kami tetapi pada kejayaan semua negara. Justeru itu, kami semua adalah rakan, tidak kira apa latar belakang, budaya, kepercayaan dan sejarah kami. Dalam kata lain, rakyat kami mula sedar bahawa keyakinan pada masa depan untuk satu komuniti hanya dapat dicapai sekiranya semua komuniti mempunyai rasa keyakinan yang sama. Bagi kami, pemahaman ini telah menjadi kesan paling penting penubuhan Matlamat Milenium. Kami telah menyedari bahawa, melainkan matlamat dicapai oleh semua orang, tidak akan adanya keselamatan yang berkekalan. Setiap matlamat yang gagal menjadi punca asas keadaan yang tidak terjamin.”
Adalah sukar untuk mengabadikan pemikiran dan pencapaian raja berperlembagaan dalam artikel pendek mengenai seseorang yang telah pun memegang jawatannya selama 50 tahun sebagai seorang pemimpin eksekutif negara. Tidak diragui tempoh pemerintahan Baginda akan dicatat dalam sejarah sebagai zaman keemasan Brunei.
Dalam buku penulis mengenai Al-Marhum Begawan Sultan, penulis membuat satu komen bahawa bukan sahaja dalam namanya, sultan sekarang mengingatkan kami tentang satu lagi era keemasan pada tempoh pemerintahan Sultan Bolkiah, Sultan Brunei ke-5 apabila rakyat Brunei meminum daripada cawan emas sebagaimana yang dilihat oleh pelawat Pigafetta pada 1521. Usaha dan pencapaian Baginda adalah sangat dikagumi dan Baginda juga memaparkan keagungan Negara Brunei Darussalam.