Kegersangan Tasik Malawi impak perubahan iklim

ZOMBA, Malawi – Hanya empat bulan yang lalu, pelabuhan perikanan di Kachulu di pesisir barat Tasik Chilwa di Malawi dilihat sibuk dengan aktiviti perikanan, di mana para nelayan dan pedagang membuat tawar-menawar pada tangkapan hari itu.

Kini, beratus-ratus bot nelayan terlihat terdampar di atas tanah kering, kosong tidak berpenghuni dan sunyi, yang mana dahulunya pernah menjadi sebuah zon perikanan yang produktif, terletak 30 kilometer (19 batu) di timur selatan bandar lama negara Afrika, Zomba.

Julius Nkhata, seorang penduduk setempat, mengatakan bahawa musim panas yang semakin panjang telah mengeringkan tasik tersebut, yang dipersalahkan oleh pakar-pakar mengenai perubahan iklim buatan manusia. Ia membuatkan penduduk tempatan berpindah dari tempat itu dan mengakibatkan peningkatan pengangguran.

“Ada di antara mereka yang telah berpindah ke Tasik Malawi sementara yang lain telah mengambil pekerjaan sementara di skim padi di sini,” katanya kepada AFP.

Chilwa, tasik kedua terbesar di negara itu selepas Malawi, adalah begitu cetek dan bergaram dan sangat terdedah kepada variasi bermusim dalam paras air dan terakhir yang ianya sangat kering adalah semasa musim kemarau pada tahun 1991. Ia adalah rumah kepada dua pulau yang mempunyai penghuni dan juga tempat pengekalan hampir 200 jenis spesies burung.

Warga sedang berbasikal di Tasik Chilwa ke Pulau Chisi, dengan berlatar belakangkan pelabuhan pedalaman Tasik Kachulu di Daerah Zomba, timur Malawi. – AFP

Seorang lelaki muda sedang berdiri di antara bot-bot yang tidak berenjin, yang terbiar di pelabuhan Pulau Tasik Chilwa di Pulau Chilwa di daerah Zomba, timur Malawi. – AFP
Bot-bot kayu terdampar di dasar tasik yang kering di Pelabuhan Kachulu yang begitu kering di kawasan pedalaman Tasik Chilwa di Daerah Zomba di timur Malawi. – AFP

Profesor saintifik alam sekitar, Sosten Chiotha, yang telah mengkaji tasik tersebut selama 27 tahun, menganggarkan bahawa ia kini 60 peratus kering.

“Rekod menunjukkan bahawa tasik itu telah kering sepenuhnya beberapa kali dalam 100 tahun yang lalu … mengikut terbitan kajian, ia adalah kitaran 20 hingga 25 tahun,” katanya.

Tetapi Chiotha memberi amaran bahawa irama tersebut telah berubah.

“Dari tahun 1990an, kekerapan pengeringan telah meningkat dan ini berkaitan dengan impak beberapa peristiwa cuaca ekstrem dan juga perubahan iklim,” katanya.

Satu setengah juta orang tinggal di kawasan-kawasan di lembah Tasik Chilwa, yang merupakan salah satu kawasan yang paling padat penduduk di selatan Afrika. Kemusnahan alam sekitar telah menyebabkan jadual air bawah tanah diisi semula pada kadar yang lebih perlahan, membantutkan aliran air yang berterusan semasa musim kering.

James Nagoli, penyelidik dalam kumpulan tindakan Worldfish, memberitahu AFP bahawa gunung tadahan utama ke Tasik Chilwa telah susut oleh kerana penebangan hutan.

“Kami hanya mempunyai sekali waktu puncaknya sekitar bulan Januari apabila kami mempunyai turunan hujan tetapi selepas itu, anda tidak mendapat banyak aliran ke tasik tersebut,” katanya sambil menambah bahawa aktiviti penanaman juga turut mengundang kepada permasalahan itu.

“Apa yang berlaku di tasik ini adalah hasil daripada apa yang berlaku di kawasan tadahan. Kita perlu memastikan aktiviti tangkapan itu dipulihkan.”

Maru Yakobe membesar dengan bergantung kepada tasik itu sejak dari lahir lagi. Hasil tangkapan ikan yang diperolehi dahulu adalah sebanyak 15,000 kwacha (AS$20) sehari, cukup untuk memberi makan dan pakaian kepada lima anaknya, dan menghantarnya ke sekolah.

“Kami dahulunya berkembang oleh kerana tasik ini, tetapi pada masa ini langsung tiada aktiviti perniagaan, kemusnahan tersebut telah menjejaskan aktiviti masyarakat di kampung ini,” katanya.

Maru kini bergantung kepada padi beras, pernah menjadi sumber pendapatan tambahan, untuk kelangsungan kehidupan keluarganya.

“Ia tidak menyamai dengan penangkapan ikan,” katanya.

Nixon Masi, seorang pegawai perikanan kerajaan di Chilwa, berkata bahawa koperasi ikan kering yang bergantung kepada tasik itu telah musnah.

“Tidak ada ikan. Ini menyebabkan masalah besar kerana wanita dari koperasi itu tidak mempunyai sumber pendapatan,” katanya.

Daripada 38 anggota awal, 21 daripadanya telah meninggalkan koperasi tersebut untuk membina semula kehidupan mereka di tempat lain.

“Beberapa kumpulan wanita itu kembali miskin dan itu sungguh mengecewakan kerana kami telah banyak membuat kemajuan,” tambah Masi.

Rose Kamata, ahli koperasi, berkata skim tersebut telah mengubah hidupnya.

“Tahun lalu, saya menerima dividen berjumlah 400,000 kwacha … Tetapi oleh kerana kami tidak mempunyai perolehan kewangan, saya terpaksa berhenti dan bermula dari awal,” kata janda kepada lapan orang anak.

Tasik itu pernah memberikan sumber kepada kira-kira 30 peratus daripada ikan negara itu, menghapuskan segala masalah kelaparan. Pulau Tasik Chisi, rumah kepada 3,500 penduduk, juga menerima kesannya.

“Malah mereka yang mencuba pertanian tidak menghasilkan apa-apa kerana keadaan cuaca yang buruk,” kata ketua tempatan, Evans Chimenya.

“Masyarakat di pulau itu sungguh terdesak dan hidup sangat susah.”

Penduduk di pulau itu telah cuba kepada penebangan pokok untuk menghasilkan arang untuk dijual di tanah besar.

“Anda tidak boleh menghalang seseorang itu daripada mendapatkan hasil rezeki mereka,” katanya.

“Sekiranya hujan tidak turun dalam waktu terdekat ini, anda akan mula mendengar berita bahawa orang-orang dari Pulau Chisi akan mati kelaparan.”

Pengendali teksi bot, Stephen Chimenya, berkata dia dahulunya pernah ‘meraih tidak kurang daripada 5,000 kwacha sehari’.

“Tetapi malapetaka yang tidak dijangka ini menjadikan kebanyakan kita tidak berdaya,” katanya, sambil menambah bahawa dia membuat arang untuk mendapatkan wang.

“Apa yang boleh kami lakukan? Kami perlu memberi makan kepada keluarga kami.” – AFP