Kegiatan dadah, tanam ganja dipatahkan

Gambar serahan BKN

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Biro Kawalan Narkotik (BKN), telah berjaya mematahkan satu kegiatan penyalahgunaan dan penanaman dadah di sebuah kediaman di Kampung Tungku, baru-baru ini, di mana seorang lelaki penduduk tetap berusia 23 tahun turut ditahan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BKN, hasil daripada pemeriksaan ke atas suspek dan tempat kejadian telah menemui beberapa biji benih yang dipercayai benih ganja, beberapa pohon yang dipercayai ganja, sebiji pil yang disyaki dadah terkawal, satu paket plastik berisi serbuk yang dipercayai dadah terkawal dan alat perkakas yang digunakan untuk menghisap dadah.

Turut dirampas ialah khemah, lampu LED dan kipas yang digunakan untuk menanam ganja.

Kenyataan menyatakan tangkapan tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan mengusahakan atau menanam pohon ganja yang boleh membawa hukuman minimum tiga tahun penjara atau denda $5,000 atau kedua-duanya sekali dan hukuman maksimum 20 tahun penjara atau denda $40,000 atau kedua-duanya.

Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 6 (a) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya; Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya.

Di bawah Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk mengambil dadah, suspek berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sebanyak $10,000 atau kedua-duanya.

Dalam kenyataan itu, BKN mengingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah APD Penggal 27, jika terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan dadah terkawal termasuk mengusahakan atau menanam pohon atau tumbuhan yang mana ekstraknya boleh digunakan sebagai dadah.

Justeru itu, BKN menyeru orang ramai agar memberi kerjasama bagi sama-sama membasmi aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan masa depan Negara Brunei Darussalam.

Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected]

Antara pohon dipercayai ganja dirampas BKN pada serbuan itu.
Paket mengandungi benih ganja turut dirampas