Kegiatan edar dadah dipatahkan, 3 ditahan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan BKN

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah berjaya mematahkan kegiatan pengedaran dadah di dua tempat yang berasingan di Kampung Jerudong pada 5 September lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BKN, di sini, hari ini, di tempat kejadian pertama, BKN menahan seorang lelaki tempatan manakala di tempat kejadian kedua, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki penduduk tetap ditahan di mana suspek-suspek berkenaan berusia dalam lingkungan 22 hingga 25 tahun.

Kenyataan menyatakan bahawa hasil daripada pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaannya di tempat kejadian pertama telah menemui dua gulung kertas dan satu blok bungkusan berisi daun-daun kering dipercayai dadah jenis ganja, dadah kelas A dengan berat melebihi 900 gram yang dianggarkan bernilai melebihi $14,000.

Turut dirampas adalah sebuah kereta, satu alat timbangan digital dan telefon bimbit yang mana kesemuanya dipercayai digunakan untuk aktiviti penjualan dadah.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa pemeriksaan di tempat kejadian kedua menemui beberapa paket lut sinar berisi daun-daun kering dipercayai dadah jenis ganja melebihi 35 gram yang dianggarkan bernilai melebihi $500.

Dua gulung kertas dan blok bungkusan daun-daun kering dipercayai dadah jenis ganja yang ditemui di tempat kejadian pertama.

Antara barang lain yang dirampas ialah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah $451 dipercayai hasil daripada aktiviti penjualan dadah.

Kesemua tangkapan berkenaan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal.

Manakala itu, dua daripada suspek juga disiasat di bawah Seksyen 3A APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah bagi tujuan mengedar dadah kelas A dan seorang di bawah Seksyen 10 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah APD, Penggal 27.

BKN dalam kenyataan itu lagi, mengingatkan orang ramai bahawa pihak mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas apa jua aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah terkawal.

BKN turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang telah bekerjasama menyalurkan maklumat dan menyeru kepada orang ramai supaya terus bekerjasama dalam sama-sama membasmi aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.

Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung dengan kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected]