Kegiatan ekonomi digital Sabah semakin aktif

KUALA LUMPUR, 18 OGOS – Peningkatan jumlah bungkusan Pos Laju sebanyak 41 peratus kepada 4.86 juta unit sepanjang Januari hingga Julai 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu di Sabah, memberi isyarat rakyat negeri itu semakin aktif dalam arena e-dagang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata aktiviti e-dagang dapat meningkatkan ekonomi Sabah terutama apabila penjualan produk dari negeri itu dapat ditingkatkan.

“Ini memerlukan prasarana sokongan yang mampan, termasuk perkhidmatan pos dan kurier yang cekap.

“Penubuhan Pusat Pos Laju terbaharu di Lok Kawi, Sabah yang mampu mengendalikan 60,000 bungkusan sehari adalah lonjakan daripada kapasiti 4,000 bungkusan sehari sekaligus memberi peluang pekerjaan baharu kepada penghantar sambilan atau Pos Riders yang kini berjumlah 204 orang,” katanya. – Bernama