LOS ANGELES, 20 MEI – California semalam mengeluarkan amaran bahawa kegiatan mencetak atau membeli kad vaksinasi COVID-19 yang palsu dari Internet, adalah satu kesalahan mengikut undang-undang serta boleh mengancam kesihatan awam ketika pandemik.
Peguam Negaranya, Rob Bonta, dalam satu kenyataan berkata kad palsu didapati dijual ‘kepada individu bagi menunjukkan kononnya mereka sudah divaksinasi.’
“Rekod palsu ini menjejaskan kesihatan dan keselamatan California serta salah di sisi undang-undang,” katanya.
Bonta menggesa orang ramai supaya membuat laporan terhadap kad vaksinasi yang disyaki palsu, selain meminta mereka tidak memuat naik kad vaksinasi masing-masing dalam media sosial kerana maklumat peribadi itu boleh dicuri untuk tujuan penipuan.
Semua penduduk California diberikan akses percuma kepada vaksin COVID-19 dan menerima kad vaksinasi selepas menerima suntikan pertama.
Bagaimanapun, media AS melaporkan pihak yang menentang vaksinasi, bertindak memaparkan tutorial dalam laman web dan forum sembang bagi menunjukkan cara menghasilkan kad palsu.
Malah, seorang pemilik bar di Clements, iaitu sebuah bandar kecil di California, telah ditahan kerana didakwa menghasilkan dan menjual kad palsu pada harga AS$20 setiap satu.
Tidak lama lagi, kad vaksinasi akan diperlukan untuk menghadiri sesetengah acara awam di California, termasuk konsert musim panas. – AFP



































