Kegiatan judi terbongkar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah berjaya membongkar kegiatan judi di sebuah rumah pekerja di Kilang Papan, Kampung Batang Mitus, Lamunin menerusi operasi mengejut yang dijalankan baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang diberikan PDB, dalam serbuan yang dijalankan sekitar jam 11 malam tersebut mendapati sudut ruang terbuka rumah berkenaan telah dijadikan tumpuan para penjudi bermain permainan judi Katam-Katam kerana lokasi yang terselindung dan berdekatan dengan kawasan hutan.

Sebaik menyedari kehadiran pihak polis kesemua kaki judi bertempiaran melarikan diri, walau bagaimanapun, pihak polis berhasil menahan seorang daripadanya yang dipercayai merupakan ketua pemain (tukang tarik dan bayar duit) bernama Mok Cheong, warga Malaysia berumur 64 tahun.

Anggota polis turut menemukan peralatan-peralatan permainan judi yang sempat disembunyikan iaitu kain Katam-Katam, buah dadu, bekas mangkuk yang dijadikan tempat penyimpanan dadu berserta sejumlah wang tunai dipercayai digunakan untuk bermain judi.

Kenyataan menambah, suspek berserta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Lamunin bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 dan 6 kesalahan melibatkan pengendalian tempat perjudian di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.

Kenyataan menekankan, PDB akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini.

Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan dapat dilaksana-kan dengan jayanya.

Antara peralatan permainan judi yang ditemui oleh polis.