Oleh Yusrin Junaidi
KUALA BELAIT, 17 Mei – Pasukan Polis Diraja Brunei berjaya menumpaskan kegiatan judi yang dijalankan di sebuah rumah di kawasan Jalan Maulana, di sini, semalam.
Dalam serbuan mengejut pada jam 5:20 petang itu, 11 orang warga tempatan yang termasuk beberapa orang kakitangan kerajaan telah ditahan.
Pihak polis turut merampas perkakasan yang digunakan dalam perjudian ketam-ketam termasuk wang tunai.
Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, serbuan tersebut dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei.
Semua yang ditahan kini sedang disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka, Penggal 28.