BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Unit Pemulihan Cara Kerja, Kementerian Kesihatan, pagi tadi, telah menganjurkan kegiatan luar tahunan sehari (Fasa 3) di Taman Rekreasi Menteri Besar, Berakas.
Acara yang dianjurkan oleh pasukan pemulihan jantung terdiri daripada jururawat dan kakitangan unit berkenaan dengan sokongan daripada Unit Kardiologi dan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) sebagai sebahagian daripada usaha terapeutik dalam pengurusan penyakit kardiovaskular.
Program pemulihan jantung mengandungi sesi latihan yang diselia dan sesi pendidikan bukan hanya untuk para pesakit yang mengidap masalah jantung namun juga bagi anggota keluarga mereka.
Program itu bertujuan untuk membantu individu-individu menjaga kesihatan jantung mereka, membangunkan kemahiran pengurusan sendiri dalam mengendalikan faktor-faktor berisiko mereka bagi mencegah serangan jantung pada masa hadapan dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
Selain itu, program berkenaan juga dihasratkan untuk mempromosi dan mendemonstrasikan bahawa para peserta masih boleh melakukan senaman mereka sendiri dalam tempoh yang lama, walaupun setelah jantung mereka dirawat dengan pembedahan injap atau pintasan, menggunakan kaedah belon dan stent.
Unit Pemulihan Cara Kerja dan Unit Kardiologi di Hospital RIPAS telah berjaya menubuhkan program pemulihan jantung sejak 2004 untuk membantu individu yang mengidap masalah jantung agar pulih sepenuhnya secepat mungkin dan melibatkan mereka semula kepada komuniti dan kembali bekerja seperti biasa.
Bagi maklumat lanjut mengenai Program Pemulihan Jantung, orang awam boleh menghubungi Unit Pemulihan Cara Kerja di talian 2242424 sambungan 6133 atau 5818 semasa waktu pejabat.