Kegiatan perjudian dipatahkan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 16 Mei – Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah berhasil melumpuhkan kegiatan perjudian dalam talian Jumaat lalu, di kawasan Kampung Sungai Teraban di sini.

Dalam kenyataan akhbar, pihak polis menyatakan, dalam serbuan itu seramai lima orang lelaki dan tujuh orang wanita yang terdiri daripada seorang warganegara tempatan, empat orang penduduk tetap dan tujuh orang warganegara asing telah diberkas kerana dipercayai terlibat.

Pihak polis turut merampas tiga unit mesin permainan judi yang mengandungi program yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian, turut dirampas ialah sejumlah wang tunai yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu.

Semua tangkapan serta barang-barang bukti telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis Belait untuk dijalankan siasatan lanjut.

Mesin permainan judi yang dirampas oleh pihak polis dalam serbuan di kawasan Kampung Sungai Teraban.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 6(1) & (2) dan Seksyen 8 (1) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.

Berikutan dengan serbuan itu, PDB jelas membuktikan komitmen yang tinggi terutama sekali dalam pembanterasan kegiatan perjudian dan akan berusaha untuk memerangi secara habis-habisan kerana ianya mengundang pelbagai kesan buruk kepada masyarakat awam.

Kerjasama orang ramai serta agensi-agensi penguatkuasa undang-undang dalam menyalurkan maklumat juga adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.