Kegiatan perjudian tumpas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Satu lagi kegiatan perjudian telah berjaya ditumpaskan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) yang turut menahan 17 orang suspek.

Suspek-suspek yang ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Mulaut itu terdiri daripada empat orang penduduk tetap, enam warga Indonesia, enam warga Bangladesh dan seorang warga Malaysia.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah satu unit komputer, enam unit komputer riba yang mengandungi Program SCR888, satu set judi jerami batu dan kain ‘Katam-katam’ serta peralatan-peralatan yang digunakan untuk bermain judi.

Di samping itu, turut dirampas ialah sejumlah wang tunai yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Semua tangkapan serta barang-barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 dan 6 kesalahan melibatkan pengendalian tempat perjudian, Akta Rumah Judi terbuka Penggal 28.

Kegiatan perjudian secara dalam talian ini sentiasa mendapat perhatian umum dan jika tidak dibanteras akan mendatangkan kesan buruk kepada negara.

Sehubungan itu, PDB melalui Jabatan Siasatan Jenayah dan daerah-daerah polis akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini.

Kerjasama orang ramai serta agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Alat elektronik yang digunakan untuk bermain judi yang telah dirampas.