BEIJING – Di pinggir bandar ibu kota China, seorang jurutera berusia 32 tahun mencipta robot bersaiz mega, membina robot-robot seperti apa yang terdapat di dalam filem ‘Transformers’.
Gudang Sun Shiqian yang terletak di pinggir bandar Beijing memperlihatkan koleksi-koleksinya yang tersergam indah, dari robot lembu ‘longlai’ sehinggalah naga logam berkilat yang berdiri tegak setinggi 4.9 meter.
Sun yang merupakan seorang graduan Central Academy of Fine Arts yang berprestij, telah bekerja sebagai seorang jurutera sebelum dia beralih secara sepenuh masa dalam apa yang dipanggil sebagai ‘seni robot’.
“Sebagai seorang kanak-kanak, saya suka menonton kartun dengan robot,” kata Sun kepada AFP.
“Tetapi saya perhatikan bahawa kesemua ini berasal dari Jepun atau Amerika Syarikat. Tiada robot dari China.”





Pada Persidangan Robot Dunia di Beijing bulan lepas, pengukir ini telah mempamerkan sebuah lembu jantan dengan keupayaan mekanikal untuk berubah menjadi robot ‘gladiator’, dilengkapi dengan sistem tahanan besi. Android adalah sebahagian daripada siri-sirinya berdasarkan 12 haiwan zodiak Cina.
Pada bulan Jun lalu, Sun telah melancarkan ‘Monkey King’ setinggi lima meter yang diilhamkan dari protagonis simian China iaitu ‘Journey to the West’. Seperti modelnya, robot lima tan itu kelihatan memegang gada emas.
Model ‘Monkey King’ seterusnya dijangka memberi saingan sengit kepada robot gergasi Amerika pada tahun depan. Sun dibesarkan di sebuah pulau di luar pantai Dalian, timur laut China. Keluarganya tidak mampu untuk membeli banyak mainan, tetapi bapanya, bekas seorang askar, sering kali menunjukkan kepadanya cetak biru senjata yang selalu digunakan dalam pertempuran.
Dengan menggunakan cetak biru ini dan juga kepingan kadbod, Sun dapat mereka bentuk miniatur naga beraksi dan beberapa makhluk lainnya.






“Saya semakin menyukai seni ini, dan kini saya telah banyak menghasilkan robot-robot kompleks semasa waktu lapang saya,” katanya.
Selepas meninggalkan jawatan kejuruteraannya pada tahun 2011, Sun menumpukan tenaganya untuk merekabentuk robot – ada yang berharga sehingga satu juta yuan (AS$150,000) – dan menjadikan visinya menjadi realiti. Pada tahun 2014, dia telah ditugaskan oleh Paramount Movies untuk membuat patung-patung robot bagi mempromosikan filem ‘Transformers: Age of Extinction’, yang telah memecahkan rekod box-office di China.
Sebuah model robot juga telah dipamerkan di hadapan kawasan bersejarah Qianmen Gate, dahulunya sebagai pintu masuk ke Imperial City di Beijing.
“Orang bertanya kepada saya, mengapa mereka meletakkan seni asing ini di hadapan Qianmen?” jelas Sun.
“Ini memberi impak besar kepada saya, kerana mereka menyedari bahawa robot ini tidak mempunyai asal-usul daripada masyarakat Cina. Sejak itu, saya cuba mewujudkan seni robot yang memaparkan masyarakat bangsa Cina.” – AFP