Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kegigihan yang patut dicontohi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, begitulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan kegigihan seorang warga emas yang mengambil upah memotong rumput.

    Walaupun secara kebiasaannya, pekerjaan tersebut dilakukan oleh warganegara asing, namun Haji Hidup bin Judin, 70 tahun, atau mesra disapa dengan panggilan Paci Idup tidak menjadikan perkara tersebut sebagai alasan melakukan pekerjaan itu memandangkan beliau mempunyai kemahiran menggunakan mesin rumput dan pelbagai jenis kerja-kerja berat yang boleh dilakukan oleh anak-anak muda.

    Sementara itu, bercakap mengenai upah yang diberikan adalah tergantung kepada pelanggan itu sendiri, ada kalanya dibayar sebanyak $12 hingga $20. Pembayaran itu mengikut keluasan halaman kediaman pelanggan. Beliau juga mengongsikan memotong rumput membolehkannya menerima sekitar $150 sehingga $300 bergantung pada cuaca semasa, katanya ketika ditemui di rumahnya di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Tanah Jambu, hari ini.

    Dengan jenis pekerjaan yang dilakukannya itu, beliau mengakui terpaksa menjaga pemakanannya sehari-hari agar tetap sihat bagi memenuhi kehendak pelanggan.

    “Saya bukan datang daripada keluarga yang senang, namun dalam masa yang sama, saya enggan menjadi peminta, apa yang penting ialah pekerjaan itu halal,” ujarnya. Beliau juga tidak ingin menyusahkan anak-anaknya memandangkan mereka juga mempunyai tanggungjawab ke atas keluarga sendiri.

    Setakat ini, beliau belum pernah meminta bantuan dari mana-mana pihak, akan tetapi teringin untuk memohon bantuan, sekurang-kurangnya untuk mendapatkan sebuah basikal.

    Menurutnya, beberapa orang pelanggannya turut terkejut apabila mengetahui umurnya yang 70 tahun namun masih sanggup melakukan pekerjaan sedemikian.

    Paci Idup turut menitipkan pesan kepada penulis dan belia agar mereka terus berusaha, belajar selagi masih mampu supaya suatu hari nanti mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, dan jangan pula memandang rendah pada pekerjaan seperti tukang pemotong rumput, yang penting ia adalah pekerjaan yang halal.

    Haji Hidup tetap gigih mengambil upah memotong rumput kerana beliau tidak suka meminta-minta.- Gambar oleh Muiz Matdani
    Haji Hidup semasa ditemu bual oleh Media Permata di kediamannya di RPN Kampung Tanah Jambu.
    Haji Hidup semasa melakukan tugas memotong rumput di halaman rumah salah seorang pelanggannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...