Kehadiran beruang liar, tingkat kebimbangan penduduk Canton

CANTON, Connecticut – Tom Bradley sudah biasa melihat beruang hitam berada di kawasan kejiranan di Connecticut, tetapi pada bulan ini dia berasa terkejut ketika melihat sesuatu cuba memulas tombol pintu untuk memasuki rumahnya.

Dia cuba membunyikan hon keretanya, untuk menakutkan sesuatu entiti yang berada di dalam garajnya. Apabila dia pergi ke luar, ternyata dia berasa terkejut apabila mendapati seekor beruang dan dua ekor anaknya yang berusaha memasuki bangsalnya.

“Saya rasa apa yang berlaku itu adalah beruang juga semakin bijak meniru tindakan manusia. Ia merupakan proses di mana mula-mula mereka keluar untuk mendapatkan sampah, kemudian pergi ke garaj di mana tin makanan disimpan, dan sekarang mereka sedang berusaha memasuki rumah memandangkan mereka telah mengetahui bahawa makanan ada di sana,” jelas Bradley.

Beruang telah mencerobohi kawasan manusia dalam jumlah yang tinggi pada tahun ini di Connecticut, telah memperlihatkan peningkatan dalam jumlah beruang hitam seperti negeri lain berhampiran dan merupakan satu-satunya negeri yang tidak membenarkan pemburuan beruang.

Terdapat 24 laporan berhubung beruang memecah masuk ke dalam rumah dan kedai di Connecticut pada tahun ini, melebihi purata tahunan sebanyak enam kes, kata Paul Rego, seorang ahli biologi hidupan liar negeri.

Dalam tempoh beberapa bulan ini, beruang telah memecah bahagian dalam kereta, merayau-rayau masuk ke kedai minuman keras, malah mengejutkan penduduk dalam bilik tidur mereka sendiri.

Kehadiran seekor beruang di hadapan pintu rumah penduduk di Canton, Connnecticut memang mencetuskan kebimbangan. -AP
Aksi beruang yang menggeledah sampah di kawasan kejiranan Canton, Connecticut merupakan satu perkara yang sering disaksikan. -AP

“Kami mendapat banyak laporan kes di mana beruang berasa amat selesa tinggal berdekatan dengan manusia dan tidak terganggu dengan tindakan anjing yang menyalak dan jeritan daripada penduduk setempat,” kata Rego.

Pertemuan dengan beruang sedang meningkat di negeri lain juga. New York menerima 1,282 laporan beruang yang menganggu pada tahun ini, seperti haiwan yang menggeledah tong sampah atau mengganggu alat pemberi makan kepada burung, berbanding dengan 700 setahun lalu, kata Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar.

Pihak berkuasa percaya keadaan kemarau pada awal musim panas ini, yang membawa kepada penghasilan beri yang lebih rendah, mungkin merupakan antara faktor penyebabnya.

Namun kemarau bukan menjadi satu isu di Connecticut, kata Rego. Satu kajian pada tahun lalu oleh Universiti Connecticut menunjukkan beruang sebenarnya memilih untuk membuat rumah mereka berhampiran dengan orang.

Tatkala jumlah beruang bertambah, haiwan berkenaan menemui keadaan tempat tinggal yang terbaik di kawasan zon pinggir bandar, di mana terdapat banyak hutan kecil tetapi juga rumah setiap satu ekar atau dua, sekali gus memberikan kemudahan kepada sumber makanan yang senang, kata Tracy Rittenhouse, penolong professor ekologi hidupan liar di UConn.

“Kawasan ini terdiri dari gabungan hutan dan rumah manusia di mana ia turut memberi peluang kepada beruang itu mudah berpindah ke kawasan berkenaan. Ia bukan orang berpindah di mana beruang wujud, ia adalah beruang memasuki ke tempat di kawasan penempatan manusia,” jelas beliau.

Kemunculan beruang sebanyak beberapa kali di hadapan rumah telah mengejutkan Steve dan Julie Sonlin di Avon. Di samping itu, beruang tersebut juga pernah melihat ke dalam menerusi tingkap, merampas satu beg biji-bijian burung, malah mandi dalam tab panas rumah mereka.

“Beruang itu tidak menunjukkan sikap agresif. Namun ia juga tidak menunjukkan rasa takut dan lebih gemar bersikap tidak ambil peduli,” kata Sonlin.

Apabila diberitahu tentang beruang menceroboh masuk ke rumah, Jabatan Alam sekitar Connecticut cuba memujuk haiwan yang ditangkapnya daripada datang balik dengan ‘mengaburi’ mereka, menembak mereka dengan peluru getah, beg kain yang diisi dengan kekacang atau kapsul cat dan mendedahkan mereka kepada bunyi yang kuat, kata Rego.

Namun dia berkata, beruang sering kali diberi ganjaran kerana tinggal berhampiran dengan penduduk dan jarang mewujudkan perkara negatif. Dia juga berharap Connecticut membuka musim pemburuan ke atas beruang.

Undang-undang terbaharu untuk memperkenalkan pemburuan beruang telah gagal diluluskan dalam badan perundangan, yang menerima tentangan daripada kumpulan hak binatang.

Maine mempunyai jumlah beruang hitam terbesar di Pantai Timur dengan kira-kira 36,000 ekor, tetapi jumlah aduan gangguan beruang di negeri itu tidak banyak berubah pada purata kira-kira 500 setahun.

Jabatan Perikanan Dalam Negeri dan Hidupan Liar Maine berkata jumlah aduan biasanya berhubung kait dengan kawasan yang memiliki banyak bekalan makanan semula jadi seperti kacang dan beri.

Negeri itu menggunakan musim pemburuan musim luruh yang popular untuk cuba mengawal pembiakan jumlah beruang. Namun Bob Humphrey, ahli biologi hidupan liar dan pemburu di negeri berkenaan, berkata mungkin sudah tiba masanya untuk merancang bagi menambah aktiviti pemburuan pada musim bunga kerana jumlah beruang semakin bertambah.

Di Connecticut, Rego dan orang lain bimbang akan berlakunya serangan ke atas penduduk setempat.

Bradley berkata beliau telahpun menyaksikan beberapa kejadian yang nyaris-nyaris membawa maut, seperti baru-baru ini apabila seekor ibu beruang mendapati dirinya dan anaknya berada di antara halaman rumah jiran dengan anjing menyalak dan satu lagi dengan seorang kanak-kanak bermain di halamannya.

Dia telah menghubungi ibu kanak-kanak berkenaan, katanya, dan ibunya terus membawa anaknya masuk ke dalam rumah.

“Ia adalah sesuatu yang menakutkan. Lambat-laun, beberapa kanak-kanak, beberapa orang tua, beberapa anjing akan bertembung dengan seekor beruang dan anaknya dan ia juga berpotensi untuk mencetuskan sesuatu perkara yang tidak diingini daripada terus terjadi,” jelas Bradley – AP