Kehadiran buaya risaukan penduduk kampung

Oleh Lyna Mohammad

BELAIT, 31 JULAI – Orang ramai melahirkan kebimbangan dengan kelibat buaya yang semakin kerap dilihat di tebing sungai Kampung Sungai Liang yang ketika ini sedang menjalani projek pembangunan.

Kebimbangan itu disuarakan oleh orang ramai menerusi rangkaian media sosial selepas gambar seekor buaya dilihat sedang berjemur di kawasan itu.

Sejak projek pembangunan bermula, kontraktor telah membersihkan kawasan rumput tinggi di kawasan itu dan ia telah bertukar menjadi tempat buaya-buaya untuk berjemur di bawah sinaran matahari.

Menurut penduduk di kawasan tersebut, mereka beberapa kali melihat kelibat buaya sedang berjemur di tebing sungai sebelum kembali semula ke sungai.

Perkara yang menjadi kerisauan penduduk kampung berkenaan ialah binatang-binatang ternakan berhampiran kawasan rumah akan menjadi tarikan kepada buaya dan ditakuti menyelinap masuk ke kawasan rumah yang akan mendatangkan bahaya terutama ketika kanak-kanak bermain di luar rumah.

Gambar-gambar yang dimuatkan dalam media sosial baru-baru ini menunjukkan satu kejadian di mana buaya dilihat sedang menuju ke kawasan darat dan ini semestinya memerlukan perhatian daripada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Lebih membimbangkan penduduk kampung ialah kanak-kanak kini tidak selamat untuk bermain di luar rumah disebabkan kehadiran reptilia berbahaya dan diharapkan agar permasalahan ini dapat diatasi sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Kelibat buaya yang semakin kerap ditemui telah menyebabkan kebimbangan orang awam.