Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Berikutan pengumuman kes COVID-19 di negara ini, kehadiran jemaah yang hendak menunaikan sembahyang fardu Jumaat hari ini, juga terjejas di mana keramaian jemaah di beberapa masjid kelihatan berkurangan daripada biasa.
Perkara ini dapat disaksikan di Surau Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam, Masjid Kilanas dan banyak lagi.
Salah seorang jemaah masjid yang ditemui, Awang Alizam menekankan, perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
“Walaupun kita sekarang menghadapi pandemik yang sangat merisaukan akan tetapi, kini adalah masanya untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana pada ketika ini, saat ini iman kita sedang diuji.
“Menyentuh mengenai berkurangnya jemaah menunaikan sembahyang Jumaat, kita seharusnya bertawakal dan usaha datang ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat, sebelum itu kita haruslah memastikan tahap kebersihan yang sangat baik, tahap kesihatan dalam keadaan baik, tidak mengalami selesema atau batuk. Insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja dengan izin Allah,” ujarnya.
Sehubungan itu juga, beberapa ahli jawatankuasa takmir masjid telah menyumbangkan hand sanitizer kepada jemaah-jemaah yang hadir untuk menunaikan sembahyang Jumaat.
Ketika ditemui Media Permata, sebahagian jemaah berkata, pemberian hand sanitizer kepada para jemaah yang hadir bertujuan untuk menyahut seruan Kementerian Kesihatan agar semua jemaah dalam keadaan sihat walaupun ia tidak banyak akan tetapi memadai.
Semasa khutbah Jumaat dibacakan, imam-imam masjid juga mengetengahkan tentang tatacara menjaga kebersihan diri.
Dalam khutbah berkenaan juga menyeru kepada orang ramai agar tidak merasa cemas dan panik dan mempercayai berita-berita palsu yang tersebar di media-media sosial.
