Kehadiran tentera AS ‘penting’

TOKYO, 13 Jun – Latihan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dengan Korea Selatan dan pasukan tentera Washington adalah ‘penting’ untuk keselamatan serantau, kata jurucakap Jepun hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kebimbangan meningkat selepas Presiden AS, Donald Trump berkata latihan itu akan dihentikan.

“Latihan dan tentera AS ditempatkan di Korea Selatan memainkan peranan penting dalam keselamatan Asia Timur,” kata Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera ketika ditanya mengenai pengumuman Trump yang mengejutkan itu.

“Saya berharap dapat berkongsi pengiktirafan ini antara Jepun dan AS, atau antara Jepun, AS dan Korea Selatan,” katanya kepada pemberita.

Trump mengejutkan pemerhati Selasa lalu, selepas bertemu dengan pemimpin Korea Utara, dengan mengatakan bahawa latihan ketenteraan bersama antara AS dan Korea Selatan akan dihentikan apabila Wa-shington membuat perjanjian dengan Pyongyang.

“Kami akan menghentikan permainan perang, yang akan menjimatkan banyak wang, melainkan dan sehingga kami melihat rundingan pada masa depan tidak akan berjalan seperti yang dirancang,” kata Trump.

“Selain itu, saya fikir ia sangat provokatif,” katanya sambil menambah bahawa ‘pada satu ketika’ dia mahu menarik tentera AS dari Korea Selatan, tanpa mencadangkan garis masa tertentu.

Pakar-pakar keselamatan memberi amaran bahawa pengurangan kehadiran ketenteraan AS di Asia Timur akan mengubah keseimbangan kuasa di rantau ini memandangkan China terlibat dalam pembentukan tentera yang pesat.

Onodera berkata dasar Jepun kekal tidak berubah selepas sidang kemuncak Trump-Kim.

“Tidak ada perubahan dalam dasar kami dalam meletakkan tekanan di Korea Utara,” katanya, sambil menambah bahawa Jepun mahu tindakan konkrit dari Korea Utara atas cita-cita nuklear dan peluru berpandu itu, serta mengenai isu warga Jepun yang diculik oleh Pyongyang beberapa dekad lalu. – AFP