Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kehebatan aksi Kingsman atasi keseraman It

    FILEM sekuel dari Fox berjaya mendominasi carta dengan jumlah kutipan sebanyak AS$39 juta setelah ditayangkan di 4,003 pawagam.

    Walaupun jumlah tersebut agak tersasar daripada jangkaan awal iaitu sekitar AS$40 juta namun ia tetap berjaya mengatasi kutipan siri pertama filem itu iaitu Kingsman: The Secret Circle yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$36.2 juta ketika ia ditayangkan pada tahun 2015.

    Kingsman juga dikhabarkan telah berjaya mengutip sebanyak AS$61 juta dari 64 pasaran yang lain sekali gus menjadikan kutipan dikumpulkan dari pasaran global sekitar AS$100 juta.

    Rata-rata penonton yang memilih filem tersebut terdiri daripada 58 peratus golongan lelaki di mana 60 peratus daripadanya terdiri daripada golongan yang berusia di antara 18 hingga 34 tahun.

    “Saya rasa ia adalah satu pembukaan yang agak baik dan ia hampir menepati apa yang disasarkan. Malah apabila kutipan yang diperoleh terhadap filem sekuel lebih tinggi berbanding siri pertama merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan,” jelas Ketua Pengedar Fox, Chris Aronson.

    Taron Egerton kembali melakonkan watak Eggsy Unwin dalam Kingsman: The Golden Circle.
    Pennywise seringkali mencetuskan keadaan huru-hara di Derry, Maine dalam It.
    The LEGO Ninjago Movie merupakan filem ketiga dalam francais LEGO yang menumpukan kepada aspek seni mempertahankan diri dalam bentuk animasi.

    Francais filem ini merupakan sebuah karya adaptasi dari siri buku komik, Kingsman yang menampilkan elemen aksi di mana ia turut membariskan bintang terkenal seperti Colin Firth, Julianne Moore, Taron Egerton, Halle Berry, Channing Tatum, Jeff Bridges dan Elton John.

    Ia mengisahkan mengenai sekumpulan ejen perisik yang menggunakan sebuah kedai jahit sebagai pangkalan perkumpulan mereka dan dalam filem terbaru ini mereka harus bekerjasama dengan sekumpulan ejen di Amerika Syarikat untuk menyelesaikan satu kes jenayah yang agak serius.

    Selepas dua minggu menjuarai carta, It keluaran Warner Bros dan New Line harus akur untuk menduduki tangga kedua dalam carta setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$30 juta hasil dari tayangan dari 4,007 pawagam.

    Pada awal minggu lalu, filem seram itu dikatakan telah berjaya mengatasi kutipan yang diperoleh filem The Exorcist sekali gus menjadikannya sebagai filem seram yang berjaya mendapat kutipan tertinggi setakat ini.

    “Walaupun kutipan yang diperolehi oleh It agak menurun pada minggu ini namun ia sudah jelas dapat memberikan keuntungan ketika ia menjuarai carta selama dua minggu berturut-turut,” jelas Ketua Pengedar di Warner Bros, Jeff Goldstein.

    Sementara itu, The Lego Ninjago Movie keluaran Warner Bros yang baru ditayangkan pada minggu ini pula berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$21.2 juta sekali gus menduduki tangga ketiga setelah ditayangkan di 4,047 pawagam.

    Pada awalnya, filem tersebut disasarkan bakal mengumpulkan kutipan sekitar AS$30 juta dan ia jelas agak rendah jika dibandingkan dengan francais LEGO yang lain seperti The LEGO Movie yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$69.1 juta pada tahun 2014 dan The LEGO Batman Movie yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$53 juta ketika ia ditayangkan pada awal tahun ini.

    American Assasin merupakan sebuah filem diadaptasi dari novel karya Vince Flynn yang dikeluarkan pada tahun 2010.
    Alice Kinney lakonan Reese Witherspoon jelas terpaksa menggandakan usahanya dalam Home Again setelah bergelar ibu tunggal.

    Siri terbaru dalam filem ini dilihat lebih banyak berjaya menarik perhatian golongan muda di mana 46 peratus daripadanya terdiri daripada golongan yang berusia 18 tahun ke bawah.

    “Saya berharap ia akan diterima oleh setiap peringkat umur dalam lapisan masyarakat kerana Ninjago mempersembahkan sebuah kisah yang berbeza berbanding siri LEGO yang lainnya,” jelas Goldstein.

    Tiga orang pengarah yang terdiri daripada Charlie Bean, Paul Fisher dan Bob Logan telah dipertanggungjawabkan untuk mengarahkan filem animasi yang menumpukan kepada aspek seni mempertahankan diri itu.

    Barisan pelakon yang turut sama meminjamkan khidmat suara mereka ialah Dave Franco, Justin Theroux, Fred Armisen, Abbi Jacobson, Olivia Munn, Kumail Nanjiani, Michael Pena, Zach Woods dan Jackie Chan.

    Manakala, American Assasin keluaran CBS Films dan Lionsgate pula menduduki tangga keempat setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$6.3 juta setelah ia ditayangkan di 3,154 pawagam.

    Home Again keluaran Open Road yang dibintangi Reese Witherspoon pula menduduki tangga kelima setelah mengumpulkan kutipan sebanyak AS$3.3 juta hasil dari tayangan di 2,685 pawagam.

    Antara filem yang baru ditayangkan pada minggu ini adalah Friend Request keluaran Entertainment Studios, Strongers keluaran Roadside Attractions dan Lionsgate, Battle of Sexes keluaran Fox, Victoria and Abdul keluaran Focus Features dan Loving Vincent keluaran Good Deed Entertainment.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda