Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Kehebatan Perancis terbukti lagi

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Seperti mana yang dijangkakan oleh ramai peminat sukan bola sepak, Perancis mara ke pusingan suku akhir Piala Dunia FIFA 2022 setelah berjaya mengalahkan Poland dengan keputusan 3-1.

    Gol tunggal Poland hanya terhasil pada minit-minit terakhir masa tambahan babak kedua perlawanan melalui sepakan penalti yang disudahkan oleh Robert Lewandowski. Namun, dia terpaksa mengambil sepakan kali kedua apabila sepakan pertama yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Perancis, Hugo Lloris telah dibatalkan oleh pengadil.

    Dengan jaringan tersebut, sekali lagi Perancis mencatatkan kemenangan tanpa rekod bersih yang menjadi persoalan kepada para peminat Perancis dan turut mempertikaikan mutu bahagian pertahanan pasukan tersebut.

    Tambahan lagi, Perancis akan berhadapan dengan England yang telah mencatatkan kemenangan bersih ke atas Senegal 3-0 pada perlawanan peringkat 16 terakhir yang berlangsung pada awal pagi tadi.

    Ia merupakan satu perkara yang perlu untuk diperhatikan oleh skuad kendalian Didier Deschamps bagi memantapkan lagi bahagian pertahanan pasukannya supaya mereka dapat menjulang trofi Piala Dunia kali ini. Jentera serangan Perancis sudah jelas tidak dapat dipertikaikan lagi kehebatannya meskipun kali ini tampil tanpa Karim Benzema yang tercedera sebelum bermulanya Piala Dunia 2022.

    Pemain sayap muda Perancis yang tidak asing lagi, Kylian Mbappe turut berjaya mencetak dua gol buat pasukannya semasa menentang Poland pada malam tadi yang menyaksikan mutu permainan yang cukup luar biasa dipamerkan olehnya sekali gus diperkatakan sebagai calon pemenang Anugerah Kasut Emas pada edisi Piala Dunia kali ini.

    Setakat ini, Mbappe mendahului senarai penjaring terbanyak dengan lima gol diikuti dengan rakan sepasukannya, Olivier Giroud bersama-sama Alvaro Morata, Lionel Messi, Mercus Rashford, Bukayo Saka dan Cody Gakpo yang masing-masing telah mencetak tiga gol. Perlawanan peringkat suku akhir antara Perancis dan England pada 11 Disember depan merupakan salah satu perlawanan yang sangat dinanti-nantikan kerana kedua-dua pasukan ini telah menunjukkan mutu permainan yang cukup baik bermula dari perlawanan di peringkat kumpulan lagi.

    Adakah England mampu menyekat kemaraan juara bertahan Piala Dunia ataupun akan menjadi makanan buat Perancis? Sama-sama kita saksikan perlawanan yang cukup mengujakan ini nanti.

    Reaksi pemain Perancis, Kylian Mbappe selepas berjaya menjaringkan gol ketiga pasukannya dalam perlawanan menentang Poland di Stadium Al Thumama, Doha, Qatar. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...