Kehebatan robot gergasi ‘Prostesis’

AMERIKA SYARIKAT – Robot ini mempunyai ketinggian sekitar 14 kaki dan apa yang menarik terhadap robot ini ialah keupayaannya untuk berlari secepat 20mph dan tidak mengeluarkan bunyi yang bising. Malah apa yang hebat, robot ini juga berupaya untuk membawa manusia di dalamnya. Robot ini telah diperkenalkan semasa pameran CES 2017 di Las Vegas baru-baru ini.

Robot yang mempunyai keberatan 7,700lb ini dikawal oleh seorang jurupandu dan jurupandu itu akan berdiri di tengah-tengah satu sistem teknologi yang dikenali sebagai mekanikal ‘Exoskeleton’ yang mana menggunakan pergerakan tangan untuk memandu robot itu untuk bergerak ke depan dan bergerak mengikut kelajuan yang ditetapkan oleh jurupandu. Mesin inovasi ini telah dicipta oleh seorang jurutera, Jonathan Tippett yang mana sebelum ini telah berjaya mencipta satu mesin, lengan bionik dan kaki Alpha serta akhirnya membawa kepada penciptaan robot yang lebih besar dan lebih baik.

Selain ia boleh dikawal dan dipandu oleh manusia, robot ini turut disokong dengan sistem Furrion yang mana bergantung sepenuhnya kepada elektron hidraulik dengan maklum balas haptik secara langsung bagi penjanaan gerakan. Robot ini direka untuk pergi jauh dalam satu peralihan inovasi penciptaan robot-robot dan bersaing dalam perlumbaan ‘Jentera Gergasi’. Jurupandu akan menggunakan satu pergerakan lengan untuk memandu kaki robot malah badan manusia akan kekal di sistem mekanikal exoskeleton yang terletak di tengah-tengah mesin tersebut.

“Seseorang akan berada di dalam badan robot tersebut dan mereka akan berupaya mengerakkan robot itu dengan hanya mengerakkan badan mereka malah robot ini akan bertindak sebagai satu mesin yang sangat lembut, tidak agresif malah sangat senyap. Apabila robot ini berjalan, anda seakan-akan tidak mendengar bunyi ia sedang berjalan. Robot ini berkebolehan untuk berjalan selama 30 minit hingga dua jam dalam satu masa dan menggunakan bateri ion litium 20kWh 96V x,” kata penyelia pameran robot tersebut, Kristin Howard kepada perwakilan media.

Robot ini juga berupaya untuk membawa manusia di dalamnya.
Robot ini juga berupaya untuk membawa manusia di dalamnya.
Robot yang mempunyai keberatan 7,700lb ini dikawal oleh seorang jurupandu.
Robot yang mempunyai keberatan 7,700lb ini dikawal oleh seorang jurupandu.

‘Prostesis’ turut mempunyai pelbagai keistimewaan di mana robot ini berpotensi untuk menyesuaikan diri ketika berada di persekitaran yang kompleks dan permukaan yang kasar dan menurut pencipta mesin ini, “Robot ini adalah lain daripada yang lain dan ia sangat berbeza daripada mana-mana robot yang dicipta di seluruh dunia ketika ini.” “Berkemungkinan besar, selepas sahaja acara pameran ini, kami akan membawa mesin ini di kawasan padang pasir untuk melakukan ujian percubaan, oleh itu, kami akan dapat melihat bagaimana robot ini berlari dengan cepat di kawasan itu,” tambah Kristin lagi kepada wartawan.

Pada dasarnya, mesin ini adalah salah satu mesin teknologi yang sangat besar namun mesin ini masih belum dapat dijual untuk orang ramai kerana masih lagi di dalam jadual ujian malah apabila ia berjaya diluluskan, mesin ini boleh digunakan dalam liga perlumbaan. “Bayangkan dalam sebuah stadium, dengan pelbagai bentuk halangan, cabaran dan banyak lagi, mesin ini dipertandingkan memperlihatkan satu inovasi baru dalam bidang sukan di masa hadapan, ia adalah liga perlumbaan exo-bionik masa depan,” tambah Kristin mengakhiri temu ramah. – Agensi