Kehidupan dalam era COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – COVID-19 telah jauh merubah corak kehidupan profesional di mana kini rumah menjadi pejabat baharu, internet adalah bilik mesyuarat baharu dan buat sementara ini, waktu rehat bersama rakan sekerja adalah sejarah.

Perdana Menteri India, Narendra Modi (gambar bawah) mengongsikan bahawa beliau juga sedang menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan ini.

“Kebanyakan mesyuarat, sama ada bersama rakan-rakan menteri, pegawai dan pemimpin-pemimpin dunia, kini dilakukan menerusi persidangan video,” ujar beliau dalam satu artikel yang ditulisnya.

Menurut beliau lagi, untuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak, mesyuarat-mesyuarat persidangan video telah diadakan bersama beberapa kumpulan masyarakat.

Terdapat banyak interaksi dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan masyarakat awam dan or-ganisasi masyarakat lain malah bersama joki radio.

Selain itu, beliau membuat banyak panggilan telefon setiap hari, mengambil maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita sedang melihat cara orang meneruskan kerja mereka dalam masa kini. Terdapat beberapa video kreatif oleh bintang-bintang filem yang menyampaikan mesej-mesej berkaitan mengenai kekal di rumah.

“Penyanyi-penyanyi kita membuat konsert dalam talian. Pemain-pemain catur bermain secara digital dan menerusinya menyumbang kepada usaha memerangi COVID-19. Agak inovatif!.

“Tempat kerja menjadi digital terlebih dahulu dan, kenapa tidak?” ujar beliau.
Ini kerana, tambah beliau, impak paling besar transformasi teknologi kerap berlaku dalam kalangan kehidupan orang miskin.

Ia adalah teknologi yang meruntuhkan hierarki birokrat, menghapuskan orang tengah dan mempercepatkan langkah-langkah kesejahteraan.

Beliau seterusnya menekankan bahawa hari ini, dunia mengejar model-model perniagaan baharu dan India, sebuah negara muda yang terkenal bagi semangat inovasinya, boleh mendahului dalam menyeduakan budaya kerja baharu.

Beliau membayangkan budaya perniagaan dan kerja baharu ini ditakrifkan semula di bawah beberapa ‘vokal’ yang beliau gelar vokal bagi normal baharu kerana seperti vokal dalam Bahasa Inggeris, ia akan menjadi bahan-bahan penting dalam mana-mana model perniagaan dalam dunia selepas COVID.

‘Vokal’ yang beliau maksudkan adalah kesesuaian, kecekapan, keterangkuman, peluang dan universalisme.

Di bawah kesesuaian, beliau menekankan bahawa perlunya memikirkan model-model perniagaan dan gaya hidup yang mudah disesuaikan.

Dengan itu, walaupun dalam masa krisis, pejabat-pejabat, perniagaan dan perdagangan boleh bergerak lebih pantas, memastikan kehilangan jiwa tidak berlaku.

Dari segi kecekapan, beliau menekankan bahawa inilah masanya untuk memikirkan semula apa yang dirujuk sebagai cekap.

Menurutnya, kecekapan tidak boleh hanya mengenai berapa banyak masa yang dihabiskan di pejabat.

“Mungkin kita patut fikirkan mengenai model-model di mana produktiviti dan kecekapan lebih diutamakan daripada usaha yang ditunjukkan.”

Menyentuh mengenai keterangkuman, Perdana Menteri Modi menyeru supaya membangunkan model-model perniagaan yang mengambil kira orang miskin, mereka yang paling terdedah dan planet.

“Kita telah membuat perkembangan besar dalam menangani perubahan iklim.

Alam semula jadi telah menunjukkan kepada kita akan kehebatannya, menunjukkan bagaimana pantasnya ia dapat berkembang apabila aktiviti manusia menjadi perlahan.
Terdapat peluang besar dalam membangunkan teknologi-teknologi dan amalan yang

“COVID-19 telah menyedarkan kita mengenai keperluan untuk mencari penyelesaian kesihatan pada kos rendah dan skala besar.

“Kita boleh menjadi penyuluh bagi usaha-usaha global untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan manusia,” ujarnya.

Mengenai peluang pula, beliau menekankan bahawa setiap krisis turut membawa peluang dan COVID-19 tidak ada bezanya.

Oleh itu, beliau menyeru supaya menilai semula bidang-bidang peluang atau pertumbuhan yang akan muncul.

Di bawah vokal universalisme, beliau berkata, COVID-19 tidak melihat bangsa, agama, warna, kasta, fahaman, bahasa atau sempadan sebelum menyerang.

“Oleh itu, respons dan tindakan kita patut mengutamakan perpaduan dan persaudaraan,” tegasnya.

Ujar beliau lagi, “Tidak seperti sebelumnya dalam sejarah, apabila negara atau masyarakat saling bertelagah, hari ini kita bersama-sama menghadapi cabaran dan masa depan adalah mengenai kebersamaan dan kebingkasan”.

Di penghujung artikel, beliau menggesa semua orang memikirkan perkara ini dan menyumbang kepada perbincangan.