Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Kehidupan di Gaza beransur pulih

    GAZA – Kehidupan di Semenanjung Gaza beransur pulih selepas konflik selama tiga hari antara Jihad Islam Palestin (PIJ) dan tentera Israel.

    Pada petang Ahad lalu, PIJ mengumumkan telah mencapai perjanjian gencatan senjata dengan Israel dan Mesir menjadi pengantara untuk menamatkan konflik yang mengorbankan 45 orang rakyat Palestin dan mencederakan 260 yang lain.

    Sejak awal pagi Isnin lalu, kedai di Semenanjung Gaza dibuka kepada pelanggan dan pengangkutan awam meneruskan perkhidmatan.

    “Kami tidak suka terlibat dalam ketegangan ketenteraan dengan Israel melainkan kami boleh memperoleh faedah politik, ekonomi atau sosial. Lebih baik untuk berunding dan mencapai perjanjian gencatan senjata yang membolehkan kami membina semula negara kami,” jelas Iyad Abu Kwaik, seorang pemilik kedai pakaian warga Gaza kepada Xinhua.

    Konflik membunuh orang awam, memusnahkan bangunan, dan meletakkan orang ramai dalam lingkaran penderitaan yang tidak berkesudahan, kata lelaki berusia 33 tahun itu, yang menyeru pihak Palestin untuk menyelaraskan usaha mereka untuk menangani krisis rumit di enklaf pantai daripada terlibat dalam pusingan baharu permusuhan dengan Israel.

    Kelihatan kanak-kanak lelaki Palestin duduk di atas kereta keldai. – Xinhua
    Penduduk Palestin bersiar-siar di jalan di bandar Gaza. – Xinhua

    Penduduk Gaza perlu meneruskan kehidupan seharian mereka walaupun menghadapi permusuhan, kata peguam yang berpangkalan di Gaza, Tawfiq Abu Ghalwa.

    “Kami perlu melepaskan semua kesedihan kami dan mula sekali lagi untuk mencipta kehidupan kami sendiri di negara kami,” katanya.

    Bagaimanapun, kehidupan tidak lagi sama bagi Qusai Shamalakh, yang kehilangan bangunan empat tingkatnya semasa konflik.

    Dia telah menghabiskan masa berjam-jam untuk memeriksa harta bendanya, menyelongkar serpihan, dan mencari barang-barang yang dapat diselamatkan daripada serangan Israel.

    “Hidup saya sudah berakhir kerana segala-galanya di rumah saya musnah. Saya dan keluarga menjadi gelandangan, dan tiada sekelumit harapan pun,” kata bapa kepada empat anak berusia 45 tahun itu kepada Xinhua.

    Konflik terbaharu menyebabkan kira-kira 18 rumah musnah sepenuhnya, 71 sebahagiannya musnah, dan 1,675 tidak dapat didiami, menurut Kementerian Kerja Raya dan Perumahan yang dikendalikan Hamas.

    Pada awal hari itu, pihak berkuasa Israel membuka semula lintasan komer- sial Kerem Shalom dan lintasan Erez selepas enam hari ditutup.

    “Kira-kira 30 trak bahan api memasuki Gaza untuk loji kuasa, dan trak ini dimuatkan dengan makanan, bijirin, dan bantuan kemanusiaan,” kata Bassam Ghaben, pengarah lintasan Kerem Shalom. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...