YONGIN – Salah seorang bintang sensasi Youtube di Korea adalah seorang nenek yang berusia 70 tahun yang merupakan seorang yang cukup selesa untuk beraksi di hadapan kamera dan berkongsi pendapat melalui video yang dimuatnaik di media sosial.
Video-video Park Makrye lebih menampilkan kisah kehidupannya tanpa segan untuk memperlihatkan kedutan di wajah pada usia emasnya,
Kebanyakan penonton dari golongan belia di Korea Selatan menganggap bahawa setiap video yang dimuatnaik oleh beliau adalah sesuatu yang cukup menghiburkan sehingga syarikat-syarikat besar seperti Samsung Electronics dan Lotte turut mengintai peluang untuk menggunakan populariti beliau.
Walaupun kehidupan beliau telah berubah dan dianggap seperti seorang selebriti namun beliau tetap bangun sebelum subuh untuk mengusahakan restorannya. Rutin kehidupan beliau adalah termasuk untuk menghidangkan kimchi dengan memakai baju polka dot berwarna merah jambu dan skirt pendek berserta dengan topi bagi memastikan hidangan yang disajikan adalah dalam keadaan bersih.
Kebanyakan warga Korea Selatan cukup gemar untuk melihat aksi beliau dalam memberikan tutorial solekan, berkumpul bersama dengan teman-teman seusianya dan menikmati hidangan pasta buat pertama kalinya dalam video berjudul Grandma’s Diary di laman YouTube.
“Beliau adalah seorang yang sangat jujur dan langsung tidak bermuka-muka sekaligus memberikan peluang kepada belia khususnya untuk melihat dunia dari perspektif seorang nenek,” jelas Lee Injae,31 yang menetap di Seoul.
Sebelum berkongsi kehidupan di laman YouTube, Park menjelaskan bahawa kehidupan yang dijalani oleh beliau adalah umpama seperti ‘biji kacang yang perlahan-lahan membusuk.’
“Ramai orang beranggapan bahawa kehidupan seseorang individu itu telah berakhir ketika mencecah usia 70 tahun,” jelas Park dalam satu sesi temubual bersama The Associated Press.
“Namun ternyata saya mula menemukan satu sinar keceriaan baru dengan mengongsikan kehidupan di laman YouTube walaupun telah berusia 70 tahun,” tambah Park.
Sinar kehidupan baru Park secara tidak langsung berjaya menepis perspektif negatif berhubung mengenai warga emas di Korea Selatan di mana ada yang mengganggap mereka menderita dan sering diabaikan sekaligus mewujudkan kehidupan yang suram.
Korea Selatan memiliki kadar kemiskinan di kalangan warga emas yang tertinggi di kalangan negara yang maju.
Negara itu telah berjuang untuk menyediakan taraf kehidupan sosial atau pekerjaan yang lebih baik di kalangan warga emas di mana kelihatan semakin kurang golongan belia yang masih menyara ibu bapa mereka yang semakin meningkat usia.
Park juga menyahut cabaran cucu perempuannya untuk mula merakamkan video bagi mengelakkan dari penyakit demensia atau nyanyuk.
Kini beliau telah tampil sebagai wajah penghias sebuah majalah, mengacarakan sebuah rancangan bual bicara membeli-belah bagi rangkaian kedai Lotte dan bakal tampil sebagai model iklan komersial bagi produk TV jenama Samsung di laman YouTube.
Populariti yang dikecapi oleh beliau juga membuatkan semakin ramai peminat beliau dari serata Korea untuk menikmati hidangan nasi dan sayur di restoran yang diusahakan oleh bintang sensasi itu yang terletak di Yongin, salah sebuah bandaraya yang terletak 34 kilometer di selatan Seoul dan tidak memiliki sebarang akses kepada pengangkutan awam.
Kim Yura, 27, merupakan cucu kepada Park yang membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai guru lakonan untuk menemani neneknya untuk mendapatkan rawatan setelah seseorang doktor memaklumkan bahawa neneknya itu berhadapan dengan risiko penyakit Alzheimer seperti tiga orang kakaknya.
Justeru, Kim telah membuat keputusan untuk membawa neneknya yang telah menjalan-kan perniagaan restorannya selama 40 tahun itu ke Australia untuk menerima rawatan.
Sebuah video yang menampilkan aksi seorang nenek dan cucu perempuannya kelihatan cukup gembira meluangkan masa bersama ternyata berjaya menarik perhatian di kalangan pengguna media sosial sehingga berjaya menerima 400,000 pengikut di YouTube dan Instagram sekaligus meningkatkan populariti nenek tersebut hanya dalam tempoh kurang dari enam bulan.
Dalam video tersebut, Park kelihatan cukup teruja untuk merasai sendiri keseronokan aktiviti berenang dan menyelam.
“Sejak dari hari itu semuanya berubah saya mula menyedari bahawa nenek saya juga sama seperti golongan belia lain yang gemar untuk melancong, menikmati hidangan enak dan merakamkan aksi menarik,” jelas Kim yang turut berperanan dalam merakamkan aksi menarik dan juga turut melakukan kerja-kerja suntingan terhadap video yang berjaya dirakamkan.
Kejujuran Park dalam mengongsikan kisah kehidupan dan emosi yang dilaluinya dengan penggunaan dialek tempatan ternyata berjaya menarik minat para penonton untuk terus menonton aksi menarik beliau di laman YouTube.
“Salah satu faktor yang meningkatkan populariti beliau di kalangan masyarakat adalah sikap telus yang dimilikinya dalam setiap perbicaraan yang diutarakan khususnya isu berkaitan dengan kaum wanita dan jelas cukup selesa untuk beraksi di hadapan kamera,” jelas Lee Taek Gwang, seorang profesor pengajian budaya di Universiti Kyunghee.
“Kamu terpaksa dilahirkan semula untuk menjadi seorang yang cantik,” merupakan ungkapan yang sering diperkatakan oleh Park ketika menjelaskan mengenai janji yang biasa diperkatakan oleh kebanyakan produk kosmetik.
Selain itu, beliau juga turut berkongsi beberapa teknik solekan yang boleh menghasilkan wajah yang agak lucu.
Di laman YouTube dan Instagram, Park bersama dengan cucu perempuannya telah mendokumentasikan kisah pengembaraannya termasuk aktiviti berkayak di Sungai Han, Seoul dan merakamkan aksi menarik di dalam majalah. Kedua-dua cucu dan nenek itu juga baru kembali dari Tottori, Jepun.
Park tidak pernah mendapat pendidikan di sekolah sebagaimana mengikut tradisi dahulu anak perempuan tidak wajar untuk menerima pendidikan dan ia jelas memberikan satu kesulitan dalam kehidupan nenek itu.
Di usia remajanya, beliau telah mula membelah kayu api di kawasan pergunungan dan berjalan kaki selama beberapa jam untuk menuju ke rumahnya.
Jiran tetangganya juga cukup berbaik hati untuk mengajar beliau membaca dan menulis namun ternyata beliau tidak memiliki kemahiran untuk mengeja.
“Ibu dan bapa saya tidak pernah memberikan pendidikan kepada saya walaupun kehidupan kami tidak susah kerana mereka lebih berkeinginan untuk melihat saya bekerja dan saya jelas berasa agak sedih kerana mengenang diri yang tidak berpendidikan sekaligus mengongsikan emosi yang saya hadapi di laman YouTube,” jelas Park.
Bagaimanapun tiada sebarang halangan yang boleh menyekat Park dari terus mengongsikan post di Instagram walaupun adakalanya ia memerlukan tafsiran yang betul.
Walaupun keluarga Park bukan dikategorikan sebagai susah namun ternyata beliau jelas turut menghadapi sebarang kesulitan tatkala suaminya berhadapan dengan masalah hutang dan meninggalkannya bersama dengan tiga orang anaknya.
Dari situ, beliau mula mengusahakan sebuah restoran dan bangun seawal 4.00 pagi dan hanya kembali ke rumah pada jam 9.00 malam.
Beliau juga berjaya membayar kesemua hutang suaminya dan membesarkan anaknya seorang diri walaupun kebanyakan ibu tunggal pada era itu banyak yang melepaskan anak mereka untuk diangkat memandangkan tiada sebarang bantuan dari pihak kerajaan.
Ketiga-tiga orang anak berjaya menerima pendidikan di peringkat menengah dan Kim, cucu perempuannya merupakan ahli pertama di dalam keluarganya yang meneruskan pengajiannya di kolej.
Ternyata kisah perkongsian Park bukan sahaja atas tujuan populariti bahkan ia juga satu pendorong atau motivasi kepada setiap individu untuk menempuhi kehidupan yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran. – AP