Kehidupan penduduk miskin bertambah sukar

NEW DELHI, 26 MAC – Rajib yang bekerja di Bihar, timur India, hilang mata pencarian dan langsung tidak mempunyai duit untuk meneruskan kehidupan.

Pagi 25 Mac, hari pertama perintah lockdown dikuatkuasakan untuk tempoh tiga minggu, akibat wabak COVID-19, dia cuba meminjam duit daripada kawan-kawan.

“Sejak beberapa hari lalu saya tidak mempunyai kerja. Cuba pinjam duit kawan-kawan.

“Seorang kawan beri saya sebungkus beras, macam mana saya nak hidup tanpa pendapatan,” kata Rajib kepada Bernama.

Kebiasaannya Rajib boleh mendapat pendapatan kira-kira 600 rupee sehari dengan membawa beca elektrik. Setiap bulan beliau memperoleh 15,000 rupee selepas ditolak sewa beca sebanyak 3,000 rupee.

Dengan hasil pendapatan tidak seberapa itu, digunakan untuk membayar sewa bilik, perbelanjaan harian dan dikirim ke kampung.

“Saya bersedia untuk buat kerja lain, malangnya semua pekerjaan tidak dapat dilakukan, nak balik kampung tak dapat kerana perkhidmatan bas dihentikan,” kata Rajib.

Media melaporkan terdapat pekerja migran berjalan kaki pulang ke kampung halaman masing-masing.

Radheshyam Patel, berjalan kaki sejauh 150 kilometer dari bandar Ahmedabad di Gujarat ke kampung halamannya di Rajasthan bersama 50 pekerja migran yang lain.

Beliau dan rakan lain memutuskan untuk pulang ke kampung selepas Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan India akan diletakkan di bawah perintah ‘lockdown’ bermula Selasa malam. – Bernama

Penduduk India yang miskin dan tidak mempunyai rumah menerima makanan di pusat kerajaan di New Delhi, India kelmarin. – AP