Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kehidupan Rohingya di Malaysia lebih baik berbanding di kem pelarian

    COX’S BAZAR, Bangladesh, 15 Okt – “Kehidupan saya di Malaysia jauh lebih baik berbanding di kem pelarian. Tetapi saya perlu berada di sini untuk menjaga keluarga saya,” demikian kata Musa Khalil, 27, antara pelarian yang berada di Kem Pelarian Kutupalong, kira-kira 35km dari sini.

    Berikutan konflik yang berterusan di tempat kelahirannya di wilayah Rakhine, Myanmar, dia telah dibawa keluarganya ke Kutupalong ketika berusia lima tahun dengan harapan mencari kehidupan yang lebih baik.

    Musa pernah datang untuk bekerja di Malaysia pada 2009 hingga 2014 bagi mencari pekerjaan untuk membantu mengubah kehidupan keluarganya.

    Bagaimanapun, statusnya sebagai pelarian dan tidak diberikan maklumat tepat mengenai peluangnya untuk bekerja di Malaysia, menyebabkan dia terpaksa kembali ke kem pelarian itu.

    Dia ditipu orang tengah yang menjanjikannya kehidupan yang baik sedangkan dengan status pelarian, adalah mustahil untuk dia bekerja secara sah di Malaysia.

    “Walaupun ditipu, saya rasa hidup saya lebih baik di Malaysia. Saya tak tahu yang pelarian tidak boleh kerja di Malaysia. Saya bekerja di banyak tempat, dari Subang hingga ke Johor. Tetapi saya kena balik juga ke sini kerana saya bukan pekerja sah.

    “Tinggal sini sangat susah, makan tak cukup. Air (bersih) susah, tandas pun susah,” katanya yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu.

    Katanya ramai pelarian di sini melihat pergi ke Malaysia sebagai peluang mereka untuk keluar daripada masalah yang membelenggu mereka, tetapi ia tidak semudah yang disangka kerana status mereka.

    “Ramai di sini yang ada anggota keluarga bekerja di Malaysia. Kalau nasib baik boleh dapat pekerjaan, tapi ramai yang kena tipu dengan orang yang janji nak tolong,” katanya.

    Sementara itu, Syed Hossein, 23, yang pernah bekerja di Malaysia selama setahun enam bulan berkata sewaktu bekerja di sana dia dapat membantu keluarganya seramai lapan orang tetapi apabila pulang pada 2014, kehidupan mereka menjadi sempit.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda