Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kehilangan tokoh peneroka bulan

    BEKAS angkasawan Apollo 12, Alan Bean yang merupakan lelaki keempat yang berjaya merentasi kembara mendarat di bulan dan turut mengabadikan pengalaman berharganya itu ke dalam bentuk lukisan di atas kanvas, telah meninggal dunia di usia 86 tahun.

    Bean merupakan salah seorang perintis modul untuk misi pendaratan ke bulan kali kedua pada November 1969.

    Menurut kenyataan dari Pengurusan Angkasa Lepas dan Aeronautik Nasional (NASA), beliau pernah meluangkan masa menerokai bulan selama 31 jam bersama Komander Charles Conrad dan berjaya mengumpulkan sebanyak 34 kilogram batu dan tanah dari bulan untuk dikaji sekembalinya ke bumi.

    Bean dilaporkan telah meninggal dunia di Houston, Texas selepas jatuh sakit secara tiba-tiba seminggu lalu.

    “Sebagai seorang peneroka hebat, Alan sentiasa berusaha dengan penuh gigih untuk mencapai apa yang diinginkannya,” jelas Pentadbiran NASA, Jim Bridenstine dalam satu kenyataan.

    Alan Bean merupakan lelaki keempat yang berjaya merentasi kembara mendarat di bulan dan telah meninggal dunia pada usia 86 tahun. – AP
    Gambar kenangan Alan Bean (kiri) bersama Richard Godon dan Charles Conrad sebelum menjayakan misi Apollo 12. – AP

    “Bean merupakan sebahagian daripada individu yang berjaya mencipta 11 rekod dunia dalam bidang angkasa dan aeronautik. Dari situ kami akan sentiasa mengenang jasa beliau ini buat selama-lamanya,” tambah Bridenstine.

    Pemergian Bean jelas menandakan hanya empat orang sahaja peneroka bulan dalam angkatan Apollo 12 yang masih hidup sehingga kini iaitu Buzz Aldrin, Dave Scott, Charlie Duke dan Harrison Schmitt.

    Schmitt, juruterbang modul bagi Apollo 17 merupakan salah seorang angkasawan yang sangat merasakan kesedihan atas kematian Bean dan tetap menghargai pencapaian dan jasa beliau yang setentunya dapat menjadi sumber rujukan bagi kembara penjelajahan ruang angkasa di masa hadapan.

    “Minatnya terhadap angkasa dan seni ternyata tidak pernah pudar. Alan Bean merupakan seorang lelaki yang sangat berkaliber dalam generasinya, di mana dia pernah melaksanakan tugas kejuruteraan, juruterbang, angkasawan dan juga pelukis. Pemergiannya setentunya merupakan satu kehilangan yang besar,” jelas Schmitt.

    Mengimbau kembali sejarah NASA pada tahun 1998, Bean kelihatan sangat teruja ketika melakukan persiapan untuk menerokai bulan.

    “Apabila anda melakukan persediaan untuk menerokai bulan setentunya setiap hari seolah-olah anda merasakan seperti berada di musim Krismas atau teruja untuk menyambut majlis hari jadi,” jelas Bean.

    Selepas Apollo, Bean juga telah mengetuai penerbangan di stesen angkasa pertama di Amerika Syarikat, Skylab pada tahun 1973.

    Dalam misi tersebut, dia telah berjaya melancarkan orbit mengelilingi bumi selama 59 hari dan mengembara sejauh 24.4 juta batu, sekali gus mencipta rekod dunia pada ketika itu.

    Dilahirkan pada 15 Mac 1932, di Wheeler, Texas, Bean menerima ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang kejuruteraan aeronautik dari Universiti Texas pada tahun 1955.

    Beliau telah menghadiri Ujian Kelayakan Juruterbang Tentera Laut dan merupakan salah seorang daripada 14 pelatih yang dipilih oleh NASA dalam kumpulan angkasawan ketiga pada Oktober 1963.

    Selepas bersara, Alan Bean juga turut menceburkan diri sebagai seorang pelukis. – AP

    “Saya sentiasa menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang. Saya sering kali melihat hanya individu memiliki sifat berani sahaja berminat untuk menggalas tanggungjawab tersebut dan saya memang mencuba untuk melatih diri agar terus berani, yang mana menceburi bidang kerja ini setentunya merupakan salah satu cara terbaik,” sebagaimana yang dinyatakan dalam sejarah lisan Bean yang dikeluarkan oleh NASA pada tahun 1998.

    Bean bersara dari NASA pada tahun 1981 dan menggunakan kreativitinya melalui karya seni lukisan yang mengabadikan pengalamannya dalam meneroka ruang angkasa.

    Lukisan-lukisan bertema Apollo itu telah ditampilkan dalam bentuk kanvas, di mana kebanyakannya menampilkan mengenai penerokaan terhadap bulan secara penuh teliti.

    “Alan Bean merupakan seorang individu yang sangat luar biasa pernah saya temui. Dia memiliki banyak pencapaian tidak kira dalam bidang angkasawan mahupun sebagai seorang pelukis,” jelas Mike Massimino, seorang angkasawan yang menyertai dua misi penerbangan ke ruang angkasa di bawah khidmat Hubble Space Telescope dalam satu kenyataan.

    Ramai peneroka ruang angkasa lain turut memberikan penghargaan dan penghormatan kepada Bean di Twitter.

    Pesara angkasawan AS, Scott Kelly menjelaskan bahawa dunia bukan sahaja kehilangan perintis peneroka ruang angkasa namun juga seorang artis yang memiliki bakat luar biasa, yang telah mengabadikan pengalamannya dalam karya lukisan untuk dipersembahkan kepada dunia.

    Angkasawan AS, Karen Nyberg merujuk Bean sebagai seorang lelaki baik, peramah dan cukup sopan yang merupakan seorang contoh ikutan yang wajar dihormati.

    “Sewaktu kecil dan memiliki minat mendalam untuk menerokai ruang angkasa, saya memang cukup mengagumi pencapaian Alan Bean dan saya juga berasa bertuah kerana berkesempatan untuk bertemunya suatu ketika dahulu,” tulisnya.

    Balu kepada Bean, Leslie Bean menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa Bean meninggal dunia di Hospital Peringatan Houston dan dikelilingi oleh orang yang dicintainya.

    “Alan merupakan seorang lelaki yang tabah dan sangat baik. Saya sangat mencintainya dan pemergiannya setentunya akan dirindukan selalu,” jelasnya.

    Pemergian Alan Bean meninggalkan soerang balu, seorang anak perempuan, Amy Sue dan seorang anak lelaki, Clay. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda