Keindahan Delta Danube semakin lenyap

SFANTU-GHEORGHE, ROMANIA – Tatkala ‘pendayung perahu terakhir’ meninggalkan salah sebuah kampung yang berselerak di Delta Danube di Romania, Iosif Acsente sedar bahawa tradisi dan pemandangan kawasan itu semakin lenyap – satu isu yang diburukkan lagi oleh pandemik koronavirus.

Acsente telah berulang-alik di Delta dengan bot kayu selama empat dekad sekarang dari kampung halamannya di Sfantu Gheorghe.

“Saya tahu selok-belok kawasan Danube dengan amat baik sehingga jika anda membuang saya keluar dari helikopter, saya tahu di mana saya berada,” kata Acsente dengan bangga.

Namun tinggal di jalan berselirat semula jadi, yang hanya dapat diakses dengan bot, mempunyai kelemahannya.

Walaupun rantau kebanyakannya terlepas daripada kesan teruk pandemik koronavirus, penduduk bimbang mereka mungkin tidak dapat memperoleh penjagaan perubatan yang diperlukan.

Nelayan Marius membawa motobot di sebuah terusan bersebelahan pulau Sacalin di Delta Danube beberapa batu dari kampung Sfantu Gheorghe. – AFP
Penduduk di sini menyaksikan keindahan matahari terbit di Laut Hitam di kampung Sfantu Gheorghe. – AFP

Koloni burung undan di pulau Sacalin di Delta Danube. – AFP

“Timbulnya risiko mungkin terlalu lambat apabila bot menyelamat tiba,” kata Acsente.

Ia merupakan satu-satunya cabaran terbaharu yang menjejas keseimbangan Delta.

Termasuk dalam senarai Warisan Dunia UNESCO, pemandangan semula jadi yang indah ini tersebar merentasi 5,800 kilometer persegi dan menjadi tempat tinggal kepada 300 spesies burung dan 45 spesies ikan air tawar.

Pada masa normal, ia menjadikannya satu tarikan untuk pengkaji burung dan pelancong lain, dengan penduduk tempatan membuka pintu rumah beratap jerami tradisional mereka kepada pelawat setiap musim panas. Namun pada tahun ini, sumber pendapatan penting tersebut nampaknya akan merosot mendadak disebabkan pandemik.

Penolong datuk bandar Sfantu Gheorghe, Aurel Bondarencu, berharap penduduk Romania mungkin dapat membantu dengan bercuti di Delta dan bukannya berkunjung ke luar negara tetapi ia hanya akan menawarkan kelegaan sementara daripada masalah yang membelenggu rantau.

Malah pelancongan ‘normal’ juga menghadapi masalah sebelum virus meletus.

Nelayan Marius, 51, bergantung pada pelancong yang tidak sabar-sabar untuk melawat kolam dan terusan semula jadi untuk mencari rezeki.

Beliau membawa mereka di antara paya dan menunjukkan pemandangan seperti bunga lili kuning dan koloni burung undan.

Namun tatkala beliau memperlahankan botnya untuk mengelak mengganggu seekor burung kosa yang mengeringkan sayapnya di bawah cahaya mata hari, beliau mengakui kemerosotan jumlah pelawat telah ‘memberikan kelegaan kepada alam semula jadi.’

Jalan raya mungkin belum berturap, ditutup dengan pasir halus dan dipinggiri oleh taman yang dipenuhi bunga.

Namun sejak kebelakangan ini, deruan motobot menenggelamkan riak air yang dihasilkan oleh pendayung.

Marius risau kereta usang yang telah mengganti pedati kuda lama ‘memusnahkan Sfantu Gheorghe sama seperti bot yang dilengkapi dengan enjin kuat memusnahkan delta.’

Sementara itu, rumah yang dibina khas telah menyertai landskap di sepanjang rumah ladang tradisional.

Marius berkata bunyi dan pencemaran yang semakin meningkat di Delta tidak baik untuk jutaan burung berhijrah yang kembali dari Afrika setiap musim bunga untuk bertelur di pulau kecil itu.

Mengenai ikan, satu lagi punca mata pencarian utama penduduk, ia juga semakin berkurangan. Mungkin tidak hairanlah bahawa Sfantu Gheorghe semakin kosong sekarang.

Kampung itu telah kehilangan kira-kira 1,500 orang sejak peralihan daripada fahaman komunis pada awal 1990 dan sekarang berjumlah 500 orang.

Anak Bondarencu dan Acsente telah berpindah, menyertai berjuta-juta rakan sekampung mereka mencari kehidupan yang lebih baik di Barat.

“Saya suka segala-galanya mengenai tempat ini, namun saya tidak mahu anak saya tinggal di sini disebabkan mereka akan terpulau selama enam bulan setahun,” kata Bondarencu.

Kehidupan adalah sukar di Delta, terutamanya pada musim sejuk apabila kabus tebal merumitkan pengemudian dan Danube membeku di sesetengah tempat.

Duduk di bangku kecil di depan rumahnya, nelayan bersara berusia 75 tahun Ilie Ignat masih ingat menghabiskan berminggu-minggu pada satu masa terputus daripada dunia luar dalam cuaca sejuk.

Perjalanannya di Laut Hitam hampir-hampir berakhir dalam nahas banyak kali tetapi beliau mengesali cara kehidupan yang semakin lenyap sekarang.

“Orang muda hari ini tidak mahu berusaha,” katanya, menambah: “Hari-hari pendayung sudah berlalu.”

Malah Acsente mengundi dengan kakinya.

Apabila cuaca mulai berubah pada akhir tahun ini, beliau akan meninggalkan Sfantu Gheorghe dan berpindah ke Tulcea, bandar besar terdekat, untuk menghabiskan musim sejuk.

Perjalanan ke sana mengambil masa empat jam, dengan bot penumpang sudah tentunya. – AFP