Oleh Syahmi Hassan
TEMBURONG, 26 MEI – Gerhana bulan penuh atau digelar Supermoon dan Blood Moon dapat dilihat jelas di negara ini pada acara cerapan cakerawala oleh Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) di hadapan Kompleks Perniagaan Bumiputera, Pekan Bangar, Temburong malam ini.
Lebih kurang 100 orang penggiat astronomi dan orang ramai menyertai acara pemerhatian gerhana bulan itu, fenomena yang jarang berlaku, melalui teleskop yang disediakan di sana.
Acara cerapan dianjurkan PABD dengan kerjasama Pejabat Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kelab Astronomi Kolej IGS serta usaha sama Jabatan Ukur Cawangan Temburong, Kementerian Pembangunan itu turut dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim dan Naib Yang Dipertua PABD, Haji Mahadi bin Haji Mohd Tahir.
Menurut kenyataan daripada PABD, gerhana bulan itu terjadi apabila kedudukan bulan berada paling dekat (perigee) ke bumi sehingga digelar sebagai Supermoon. Ia merupakan gerhana bulan purnama terbesar tahun ini berlaku pada jam 7:11 malam di dalam bayang Bumi (umbra).
Pada waktu tersebut bulan purnama menjadi gelap dan kelihatan berwarna merah serta 14 peratus lebih besar daripada lazimnya. Fenomena luar biasa ini berlangsung selama 14 minit 30 saat. Bagi memeriahkan acara tersebut, PABD turut menganjurkan kuiz dalam talian berdasarkan fenomena gerhana dan pemenang berpeluang memenangi hadiah dan baucar keahlian percuma setahun PABD.


Acara juga menampilkan projek khas Making Space for All (MASA) yang mempamerkan teleskop Bresser 90/900 untuk orang ramai mencerap kejadian astronomi pada malam ini.
Teleskop khas itu ditandatangani oleh para angkasawan, pemenang Nobel, dan saintis dari seluruh dunia. Teleskop tersebut dianugerahkan kepada ahli PABD, Dayang Nur Bazilah binti Zainal Abidin, pemenang The Telescopes for All yang dianjurkan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) pada tahun 2020.
Selain Negara Brunei Darussalam, beberapa kawasan lain di seluruh dunia seperti Asia Timur, Australia, Pasifik, Utara dan Selatan Amerika juga antara yang berpeluang melihat kejadian fenomena astronomi ini.
Gerhana bulan seterusnya yang dapat dilihat dari Negara Brunei Darussalam adalah pada 19 November 2021. Namun, ia hanya akan menjadi gerhana separa.