Keindahan Hasil Kreativiti Seni Jahitan

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar serahan Dayang Siti Noorhasiah

Jari jemarinya cermat mengawal gerakan jarum yang dicucuk menembusi fabrik kain untuk menghasilkan sebuah karya kraf tangan dalam dunia seni jahitan.

Sambil tertunduk-tunduk menjahit di mesin yang diletakkan di atas meja, daya kreativiti sentiasa terukir di fikirannya demi mencipta sebuah hasil tarikan yang indah di mata para pelanggannya.

Apa yang pasti penghasilan sebuah karya kraf tangan itu setentunya memerlukan ketelitian, ketekunan dan kesabaran dalam peribadi seseorang insan yang berkerjaya dalam bidang jahitan.

“Dari sebuah minat yang mendalam bidang seni reka fesyen ini pastinya memang sukar dipisahkan dalam diri dan jiwa ini. Dari hari ke hari, hati ini semakin berbunga-bunga untuk menghasilkan pelbagai produk seni jahitan mengikut kreativiti peribadi.”

“Semua itu mendorong diri ini untuk lebih giat menerokai dunia seni jahitan daripada ahli keluarga yang memiliki minat yang sama serta mengikuti kursus-kursus jahitan tanah air dan juga menimba ilmu menerusi kedai-kedai jahit secara tidak langsung. Begitulah kecintaan saya dalam seni ini,” itulah antara kata-kata ketulusan yang diungkapkan oleh pemilik usahawan kelas jahitan tempatan yang dikenali sebagai Aseeya by Design, Dayang Siti Noorhasiah binti Hashim yang juga selaku guru jahit secara sampingan di syarikat beliau semasa ditemui penulis baru-baru ini.

Cinta seni reka fesyen dalam diri dan jiwa Dayang Siti Noorhasiah sejak tahun 2017 lagi semakin berbunga-bunga sehingga kini untuk menghasilkan pelbagai produk seni jahitan mengikut kreativiti peribadi sehinggalah mengadakan kelas jahitan kepada anak bangsa di negara ini.
Selain itu, Dayang Siti Noorhasiah juga mengetengahkan pelbagai rekaan produk seni jahitan yang lain seperti sarung fail bercorak fabrik dan juga keistimewaan bantal anak damit.
Dayang Siti Noorhasiah juga selaku guru jahit secara sampingan menghasilkan keindahan busana yang menawan di mata pelanggannya dengan daya kreativit yang tersendiri.

Lahirnya seni dari pelbagai kreativiti

Sejak tahun 2017, Dayang Siti Noorhasiah telah menjalankan kelas jahitan secara kecil-kecilan disebabkan permintaan tempahan dari orang ramai secara kecil-kecilan antaranya ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan.

“Seni itu membawa maksud yang meluas. Seni itu lahir dari kreativiti seseorang. Kreativiti yang bermula dari pemikiran seterusnya terhasil menjadi satu seni atau produk. Begitu juga halnya dengan seni jahitan, dari seni jahitan ini akan terciptanya busana-busana dengan pelbagai rekaan dan corak mengikut trend serta kesesuaian semasa,” jelasnya yang bukan hanya menghasilkan keindahan busana yang menawan di mata pelanggannya bahkan juga meliputi pelbagai rekaan produk seni jahitan yang lain se-perti sarung fail bercorak kain fabrik dan juga keistimewaan bantal anak damit.

Namun setelah menerima sambutan yang semakin menggalakkan dari orang ramai yang menginginkan perkhidmatan kelas jahitan, dari detik itulah Dayang Siti Noorhasiah telah mengadakan kelas jahitan secara persendirian sehingga kini.

Di samping itu, beliau juga pernah menanai amanah dalam mencurahkan ilmu seni jahitan kepada mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) sebagai kursus kokurikulum sampingan pada tahun 2019. Selain itu, projek amal sempena bulan Ramadan tahun lepas juga telah dilaksanakan dengan kerjasama KUPU SB iaitu dengan menghasilkan baju kurung dan juga jubah untuk anak-anak yatim.

Berkongsi ilmu demi anak bangsa Brunei

Pengusaha seni jahitan yang berjiwa kreatif ini turut menyatakan bahawa kelas jahitan beliau bermula dari asas seni jahitan sehinggalah ke tahap yang lebih kompleks dengan mengutamakan hari dan masa yang fleksibel bagi orang ramai meliputi golongan dewasa dan kanak-kanak yang mengikuti sesi pembelajaran tersebut sama ada secara berkumpulan kecil dan juga perseorangan.

Perkhidmatan yang ditawarkan dalam kelas jahitan itu meliputi kelas asas yang terdiri daripada cara mengukur dengan tepat dan membuat pola, pengendalian mesin jahit, teknik jahitan baju dan kain sehingga terhasilnya baju kurung moden serta cara menjahit zip dan dart.

“Dengan adanya kemahiran seni jahitan yang saya miliki ini, saya rasa inilah masanya untuk saya berkongsi ilmu dan sekali gus membantu masyarakat di negara ini terutama golongan belia dan ibu-ibu tunggal dalam sama-sama meningkatkan sumber pendapatan diri dan keluarga melalui kemahiran seni jahitan yang diterokai mereka.”

“Syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Adalah menjadi harapan besar saya untuk sama-sama melihat mereka berjaya menghasilkan karya seni rekaan jahitan mereka yang tersendiri dan mempunyai pendapatan serta perniagaan mereka masing-masing,” ucapnya dengan nada penuh kesyukuran yang telah menerima lebih 200 orang anak didik sepanjang menjalankan perkhidmatan kelas jahitan berkenaan secara keseluruhannya.

Sokongan insan-insan tersayang

Dalam meniti dunia keusahawanan ini, semangat juang insan yang kini berusia 32 tahun ini tidak pernah luntur ditelan waktu bahkan semakin bersemangat untuk menghasilkan pelbagai rekaan seni jahitan untuk para pelanggan yang dikasihi, di samping mencurahkan ilmu dan kemahiran seni kreativiti yang beliau usahakan ini kepada insan-insan yang memerlukan bantuan.

“Berdirinya saya sehingga sekarang semestinya di atas sokongan dan dorongan yang sangat kuat daripada insan-insan yang amat saya sayangi iaitu ahli keluarga saya dan rakan-rakan. Merekalah adalah pencetus semangat juang saya untuk sentiasa bangkit dalam mengembangkan perniagaan ini menuju ke peringkat yang lebih jauh lagi,” ujarnya tersenyum.

Positif dalam persaingan

Sehubungan dengan itu, Dayang Siti Noorhasiah turut menyarankan kepada masyarakat di negara ini terutamanya generasi muda sentiasa berfikiran terbuka dan positif untuk sama-sama memanfaatkan bakat atau kemahiran yang ada melalui dunia keusahawanan meskipun wujudnya persaingan, namun yakin dan fokus serta usaha yang lebih giat itu amat penting untuk memantapkan penghasilan produk agar ia lebih menarik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

“Semai dan peganglah prinsip ‘berkarih, berjarih, belurih’ tanpa berputus asa agar kita mampu meningkatkan prestasi perekonomian diri, keluarga dan juga negara meskipun bermula secara kecil-kecilan,” itulah antara kata-kata semangat yang disampaikan oleh beliau yang turut memiliki sebuah harapan untuk menjelajah ke kampung-kampung untuk mengajar para wanita khususnya dalam dunia jahitan serta membantu ekonomi negara dengan menghasilkan produk pakaian tempatan yang dijahit oleh para penduduk Brunei khasnya, semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.