Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Keindahan jambatan Si-o-Se pol diancam kemarau

    ISFAHAN, IRAN – Jambatan sungai yang terkenal di bandar Iran Isfahan merupakan tarikan utama pelancong – tetapi gerbang atau lengkung jambatan batu itu hanya merentangi pasir dan batu-batan, bukannya air.

    Kemarau dan perubahan haluan air di hulu sungai telah menyaksikan Zayandeh Rood, ‘sungai subur’ dalam bahasa Parsi, menjadi kering-kontang sejak 2000, hanya dengan beberapa kekecualian.

    Duduk di bagan bersama dua kawannya, Jalal Mirahmadi, 60, merenung dengan perasaan sayu pada dasar sungai, yang menjadi tapak berlakunya bantahan petani pada akhir tahun lalu.

    “Apabila saya masih kecil, air mengalir di bawah gerbang jambatan dan ada kalanya melimpah ke jalan di sekitarnya,” katanya sambil mengeluh.

    Sungai itu menganjur hampir 400 kilometer dari Gunung Zagros di barat ke Tasik Gavkhouni di timur, menjadikannya jalan air paling panjang di tengah Iran.

    Pelawat bersiar-siar dalam bot di sepanjang sungai Zayandeh Rood. – AFP
    Orang ramai duduk di bawah Jambatan Si-o-Se Pol, siap pada 1596 semasa pemerintahan Safavid Shah Abbas, di sungai Zayandeh Rood, di Isfahan. – AFP

    Seorang lelaki bergambar di bawah gerbang jambatan Si-o-Se Pol sepanjang 295 meter, di sepanjang sungai Zayandeh Rood di Bandar Isfahan, Iran. – AFP

    Dalam perjalanannya menerusi Isfahan, ia mengalir berliku-liku di bawah beberapa jambatan yang dibina dengan cantik dari abad ke-17, era keemasan bandar apabila ia menjadi ibu negara Parsi.

    “Apabila air Zayandeh Rood mengalir, jambatan berkenaan mempunyai pemandangan yang mengagumkan,” kata Ali Mohammad Fassihi daripada Kementerian Warisan dan Pelancongan.

    “Jambatan bersejarah berkenaan adalah tidak bermakna tanpa air.”

    Iran, dengan sebahagian besar kawasannya gersang, seperti negara lain berhampiran, telah mengalami musim kemarau kronik dan gelombang haba bertahun-tahun lamanya, yang dijangka bertambah buruk dengan perubahan iklim.

    Iran ada kalanya dilanda bekalan elektrik terputus pada musim panas apabila cuaca panas terik mendorong penggunaan penyaman udara yang meningkat sementara turunan hujan yang rendah mengurangkan air takungan di empangan hidroelektrik.

    Aliran air yang berkurangan di Zayandeh Rood bagaimanapun adalah buatan manusia disebabkan kebanyakan airnya telah dilencong untuk menyalurkannya ke wilayah jiran Yazd.

    Pada November lalu, puluhan ribu orang, termasuk petani, berkumpul di dasar sungai yang kering untuk mengadu mengenai kemarau dan menyalahkan pegawai kerana mengubah haluan air.

    Anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata apabila bantahan berubah menjadi ganas dan berkata mereka menahan 67 orang.

    Majlis perbandaran seterusnya melancarkan kempen kesedaran mengenai nasib sungai itu, dengan beberapa papan tanda didirikan di Isfahan, bandar ketiga terbesar negara dengan dua juta penduduk.

    Belia di bandar itu berkata mereka sudah biasa melihat dasar sungai yang kering.
    Pelajar sekolah tinggi Amir, 18, berkata dia jarang mengunjungi tempat di sana kerana ‘ia tidak lagi kelihatan menarik tanpa air.’

    “Kebanyakan kenangan saya dan juga generasi saya dikaitkan dengan sungai kering,” keluhnya.

    Dari semasa ke semasa, pihak berkuasa membuka pintu banjir empangan di hulu sungai untuk mengairi ladang gandum yang terletak di timur Isfahan – yang menarik ribuan penduduk ke sungai berkenaan.

    Ia berlaku pada pertengahan Mei apabila penduduk tempatan dan pelancong bergegas ke jalan air itu untuk merakamkan pemandangan yang hanya bersifat seketika dengan mata mereka dan juga bergambar sebagai kenangan.

    Di tempat redup di bawah pokok-pokok di tebing sungai, keluarga meminum teh dan menghisap shisha. Ada di antaranya bersiar-siar dan yang lainnya mengayuh dalam bot berbentuk swan, yang kembali digunakan selepas tersadai diliputi abu.

    Di Jambatan Si-o-Se Pol, pelukis potret Mohammad-Reza Abdollahi, 50, melukis jambatan warna kuning bata sementara menunggu pelanggannya.

    “Saya belum menjejakkan kaki saya di Isfahan sejak 10 tahun lalu kerana tidak ada pelancong yang datang disebabkan kemarau di Zayandeh Rood,” katanya.

    Dia hanya merancang untuk tinggal selama satu atau dua minggu, namun berkata apabila empangan dibuka, “saya akan tinggal lebih lama.’

    Mahnaz, seorang pelajar berusia 27 tahun yang memegang kameranya, berkata dia berasa gembira untuk mengabadikan kecantikan sungai tersebut. “Saya tidak mempunyai gambar cantik mengenai bayang-bayang jambatan di sungai kerana ia telah kering sejak saya mempelajari fotografi,” katanya.

    Mirahmadi, seorang lelaki berusia 60 tahun, melihat pelancong ke sungai dengan perasaan bercampur.

    “Adakah awda melihat orang yang ramai hari ini?” katanya. “Dalam masa beberapa hari, apabila tidak ada lagi air dalam sungai, awda hanya akan melihat warga emas seperti kami. Dan kami akan datang hanya untuk mengimbau kenangan.”

    Pintu banjir telah ditutup sekali lagi dan perubahan sudah nampak ketara: air hanya mengalir di bawah dua gerbang Jambatan Khajou, yang terkenal dengan hiasannya serta tangganya yang menurun ke dalam arus sungai.

    “Zayandeh Rood merupakan tempat pertemuan semua penduduk Isfahan,” kata Borna Moussavi,

    “Apabila mereka berasa gembira, mereka datang ke sungai ini dan jambatannya untuk meraikannya. Dan sekiranya mereka berasa sedih, mereka datang ke sini untuk menenangkan diri.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...