Friday, December 1, 2023
24.9 C
Brunei

    -

    Keindahan, keajaiban astronomi dari Kg Melilas

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar petikan dari laman web PABD

    BELAIT, 31 JULAI – Keindahan dan keajaiban astronomi bukan sahaja memukau peminatnya tersendiri malahan orang ramai serta penduduk kampung di Daerah Belait turut terpesona.

    Keindahan Bima Sakti itu dapat disaksikan pada Program Kembara Angkasa Maal Hijrah yang berlangsung dalam tiga hari dan berakhir hari ini di Julangan Titah, Kampung Melilas, Daerah Belait.

    Program merupakan anjuran Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) dengan sokongan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Melilas dan Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

    Menurut kenyataan dari laman sesawang PABD, lebih 40 ahli PABD dan penduduk kampung menyertai sesi pemerhatian bintang Bima Sakti dari kawasan luar bandar pada perkhemahan Program Kembara Angkasa Maal Hijrah itu di Julangan Titah, Rumah Panjang Kampung Melilas.

    Di Melilas, malam paling gelap telah mampu dicapai melalui bacaan pada Sky Quality Meter (SQM) sehingga 21.83. Pada skala ini, struktur Bima Sakti adalah pada pemandangan menakjubkan, apa lagi langit gelap di Melilas memastikan segala-galanya tampak terang melalui pengamatan menggunakan teleskop.

    Keindahan bintang-bintang di Bima Sakti daripada pengamatan astronomi PABD dengan sokongan PKTLB dan KSSUP serta MPK Melilas di Julangan Titah, Rumah Panjang Kampung Melilas.
    Gambar ramai peserta Program Kembara Angkasa Maal Hijrah di Kampung Melilas.

    Semasa sesi mengamati dan memerhatikan bintang itu, pancaran laser hijau digunakan untuk memandu peserta mengenal pasti objek angkasa seperti buruj Sagittarius yang kelihatan seperti teko dan Scorpius yang sebahagiannya kelihatan seperti ekor kala jengking.

    Aktiviti merupakan khidmat ditawarkan kepada orang awam dan para peserta bagi menjangkau bidang astronomi dan menjadikan ia lebih mudah diakses oleh masyarakat luar bandar di negara ini.

    Pada program itu juga penduduk dan para peserta program berkesempatan melihat empat planet iaitu Musytari, Zuhal, Marikh dan Zuhrah melalui teleskop.

    Mereka turut dapat melihat meteor Delta Aquarids yang merupakan salah satu sorotan utama acara memerhati bintang.

    Dalam pada itu, aktiviti-aktiviti alternatif turut diadakan seperti kuiz astronomi dan praktikal astrofotografi memandangkan aspek memerhati bintang sentiasa bergantung kepada cuaca.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Reaktor gabungan nuklear eksperimen Jepun dirasmikan

    TOKYO, 1 DIS - Reaktor gabungan nuklear eksperimen terbesar di dunia yang sedang beroperasi dirasmikan di Jepun hari ini, sebuah teknologi pada peringkat awal...