DIBERI jolokan Las Vegas Asia, kota Macau menjanjikan panorama yang cukup memukau khususnya suasana ketika matahari terbenam. Jika berkesempatan berkunjung ke sana, anda pasti dapat merasai perbezaan persekitaran yang cukup ketara antara siang dan malam.
Perkara yang wajib anda lakukan tentunya meneroka keindahan kota itu dengan menaiki open top bus. Paling penting, pilih tempat duduk tanpa bumbung di bahagian atas untuk menikmati panorama sambil disapa angin malam yang cukup mendamaikan. Sepanjang perjalanan selama 50 minit, anda akan disajikan lebih 120 tarikan di kota itu.
Bangunan ikonik
Selain bangunan-bangunan mega yang dipancarkan cahaya berwarna-warni, anda juga akan melewati banyak binaan ikonik. Antaranya The Parisian Macao yang menampilkan Menara Eiffel, persis binaan sebenar di Paris. Selain itu, anda juga akan dibawa untuk melihat rangkaian hotel mewah seperti Wynn Palace, MGM, Venetian Hotel dan Grand Lisboa.
Satu perkara menarik mengenai Macau, anda boleh berkunjung ke mana-mana hotel untuk menyaksikan sendiri kemewahan binaan serta kemudahan yang disediakan mereka. Digelar Hotel Hopping, aktiviti popular ini membolehkan anda menikmati suasana mewah berlainan di setiap hotel biarpun tidak menginap di lokasi itu. Selain itu, anda juga wajib berkunjung ke Menara Macau untuk menyaksikan panorama 360 darjah kota itu dari ketinggian 338 meter.
Aktiviti-aktiviti mencabar
Bukan sekadar panorama, anda juga boleh melakukan beberapa aktiviti yang mencabar adrenalin di lokasi itu. Jika gemarkan ketinggian, apa kata cuba aktiviti Skywalk yang mana anda berpeluang mengelilingi dek tinjau terbuka menara itu secara berkumpulan.
Mahu lebih ekstrem? Boleh juga rasai pengalaman ‘gila’ dengan melakukan terjunan bungee di Menara Macau. Antara selebriti yang pernah melakukan terjunan di menara itu termasuklah Juara F1, Lewis Hamilton; selebriti Korea Selatan Song Ji Hyo dan penyanyi R&B, Ne-Yo. Bagi yang mahu bersantai-santai sahaja, anda juga boleh menikmati hidangan di 360 Cafe.
Unik dan menarik
Lebih menarik, lokasi menjamu selera itu akan berputar 360 darjah sekaligus memberi anda satu pengalaman menjamu selera yang unik dan menarik.
Satu fakta menarik mengenai Macau, anda tidak perlu risau untuk melakukan banyak aktiviti pada satu-satu masa kerana kota itu hanya memiliki keluasan 32.9 kilometer persegi sahaja.
Jadi apa tunggu lagi, rancang perjalanan anda ke kota penuh magis ini dan rasai sendiri fantasi malam dengan suasana limpahan lampu pelbagai warna yang sukar ditemui di mana-mana lokasi lain. – Agensi