Keindahan mempesonakan di Bukit Silat dan Sum-Sum

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar Muiz Matdani

Bunyi kicauan burung dan suasana hening ketika berada di dalam hutan tebal sememangnya satu pengalaman yang amat menenangkan fikiran, lebih-lebih lagi ketika melakukan riadah mendaki bukit merentasi hutan tebal ini pada waktu pagi.

Itulah yang dirasai oleh penulis ketika melakukan riadah mendaki bukit di sebuah lagi kawasan pendakian bukit yang semakin terkenal dalam kalangan masyarakat negara ini iaitu Bukit Silat dan Bukit Sum-sum.

Terletak lebih tujuh kilometer dari Bandar Seri Begawan, Bukit Silat sememangnya merupakan salah satu tempat riadah yang menjanjikan kepuasan kepada para pengunjungnya terutamanya kepada pencinta alam.

Keindahan Bukit Silat

Sepanjang pendakian ke bukit ini, para pendaki akan menemui pelbagai keunikan alam semula jadi yang sangat mempesonakan seperti flora dan fauna yang jarang sekali ditemui.

Menurut Pemangku Ketua Kampung Jerudong, Awang Kamis bin Panjang, trek Bukit Silat adalah sepanjang 4.2 kilometer yang terletak berhampiran Bandar Seri Begawan dan menawarkan pelbagai keindahan alam semula jadi dengan para pendaki boleh menyaksikan kehidupan haiwan liar yang terdapat di kawasan hutan tebal ini.

Pemangku ketua kampung Jerudong mengongsikan trek Bukit Silat mempunyai laluan sepanjang 4.2 kilometer yang terletak berhampiran Bandar Seri Begawan dan menawarkan pelbagai keindahan alam semula jadi.

Antara trek laluan semasa pendakian tersebut.

Panorama keindahan alam yang boleh disaksikan semasa berada di puncak bukit sememangnya memberikan kepuasan dan ia menjadi tarikan utama para pendaki.

Pendakian di bukit ini juga sangat sesuai dilakukan oleh seisi keluarga untuk meningkatkan tahap stamina dan kemahiran bersukan. Trek Bukit Silat setakat ini digunakan untuk mendaki, berjalan kaki, dan banyak lagi.

Panorama keindahan alam di sini juga menjadi tarikan para pendaki, di mana terdapatnya pelbagai wasai dengan kejernihan air semula jadinya yang begitu menyegarkan.

Antara wasai-wasai yang ditemui penulis semasa pendakian tersebut ialah Wasai Kinajong, Marak Berapi, Buang Tengkorok dan Titian Akar.

Menyentuh mengenai latar belakang wasai berkenaan, Awang Kamis mengatakan nama-nama wasai di kawasan tersebut diberikan sendiri oleh penduduk kampung berkenaan.

Pendakian ke Bukit Sum-sum

Pendakian ke sebuah lagi bukit di sini iaitu Bukit Sum-sum sememangnya satu aktiviti yang agak memenatkan, namun ianya sangat berbaloi kepada para pendaki kerana berpeluang untuk menyaksikan pemandangan hutan yang menghijau serta dipenuhi dengan pokok-pokok yang menjulang tinggi.

Menurut penduduk Kampung Katok dan di sekitar Bukit Sum-sum, bukit ini terletak berdekatan dengan perpindahan Kampung Katok dan merupakan tempat kawasan riadah yang telah diketahui oleh orang ramai sudah sekian lama.

Ia juga turut dijadikan sebagai salah satu tempat riadah mendaki bukit, memandangkan keadaan bukitnya tidak begitu mencabar bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki.

Walau bagaimanapun terdapat juga trek di bukit ini sememangnya memberikan cabaran kepada stamina para pendaki terutama sekali ketika pendakian menuju wasai-wasai yang terdapat di persekitaran kawasan berkenaan, antaranya ialah Bukit Pemaah dan sebagainya. Untuk mengelilingi Bukit Sum-sum, para pendaki boleh melakukan perjalanan atau pendakian di kawasan berkenaan sekitar 3 atau 8km dengan tempoh pendakian lebih kurang 45 minit sehingga 4 jam.

Mulakan pendakian

Dengan ketinggian puncak Bukit Sum-sum lebih kurang 100 meter, para pendaki boleh memulakan pendakian secara berjalan kaki di kawasan tempat letak kereta berdekatan lebuhraya Kampung Katok.

Di Bukit Sum-sum itu juga sering kali dijadikan lokasi bagi mengadakan pelbagai aktiviti oleh pihak-pihak tertentu, seperti latihan berlari oleh para atlet dan aktiviti riadah.

Para pendaki seterusnya bolehlah meneruskan pendakian dengan melalui laluan-laluan kecil yang dibuat untuk memudahkan pendakian.

Manakala pendaki yang menginginkan laluan yang lebih mencabar bolehlah menggunakan laluan lain menerusi Bukit Silat Kampung Katok dengan melalui laluan-laluan yang cukup mencabar dan menguji fizikal para pendaki.

Kepuasan mendaki

Selain bagi mengamalkan budaya hidup yang sihat melalui aktiviti pendakian ini, para pendaki juga berpeluang menyaksikan keindahan pelbagai jenis flora dan fauna yang jarang ditemui serta pokok-pokok besar dan tinggi menjulang tinggi.

Kepuasan bakal dirasai sendiri oleh para pendaki setibanya mereka di puncak Bukit Silat kerana di sini mereka dapat menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang mempesonakan.

Setakat ini, Bukit Sum-sum dan Bukit Silat telah menerima ramai pengunjung sama ada untuk beriadah bersama keluarga dan kawan-kawan, mendaki bukit ataupun untuk menyaksikan sendiri keindahan alam semula jadi.

Bukit Sum-Sum dan Bukit Silat sememangnya tidak dinafikan merupakan lokasi strategik bagi pencinta alam di mana para pengunjung mahupun para pendaki setentunya akan kagum melihat keindahan hutan simpan berkenaan sambil mendengarkan kicauan bunyi semula jadi hutan yang begitu tenang.

Khazanah warisan sumber hutan negara seumpama ini diharap akan terus dipelihara secara lestari bagi faedah generasi masa kini dan masa hadapan.