Keindahan taman negara Yosemite pukau pembaca

Lembah Taman Negara Yosemite yang dilitupi glasier telah ditutup kepada orang awam hampir tiga bulan lamanya dan beberapa dozen kanak-kanak yang bernasib baik menghabiskan sepanjang masa di taman tersebut.

Terkurung di tengah air terjun yang melata dari gunung dan pokok jati merah, budak-budak dan keluarga mereka telah meluangkan masa petang mengembara berjalan kaki mengikuti denai melalui pergunungan, berkayak di sungai serta bersiar-siar dengan hidupan liar yang kini hidup tanpa kehadiran manusia.

Bacalah kesemua kisah berkenaan dalam edisi akhbar Sekolah Lembah Yosemite akan datang, produk salah sebuah sekolah awam paling bersejarah dan unik di Amerika.

Satu-satunya sekolah yang terletak di dalam taman seluas 1,200 batu persegi itu mempunyai tiga buah bilik darjah untuk 35 orang pelajar dalam gred ke-8 K, anak-anak kakitangan penting Yosemite yang tinggal di satu kawasan perumahan di taman dan sedang menjaganya sementara ia ditutup.

Sekolah itu telah menutup pintunya pada pertengahan Mac sama seperti sekolah-sekolah lain di seluruh Amerika dan kelas telah pun diadakan secara dalam talian.

Pelajar di Sekolah Lembah Yosemite mengusahakan akhbar sekolah di Taman Negara Yosemite, California. – AP
Ncole W Little, penerbit Gazette, berkongsi tip fotografi kepada beberapa pelajar kewartawanan di Sekolah Lembah Yosemite. – AP

Namun pandemik tersebut tidak menghalang percetakan edisi terakhir sekolah ‘The Yosemite Eye’, satu hasil penerbitan yang memukau komuniti sehingga ia mempunyai edaran sebanyak 5,000 naskhah, diedar oleh akhbar mingguan tempatan.

Wartawan muda berkenaan memandang serius misi mereka: “Untuk memberikan dunia luar skup ataupun berita eksklusif dalaman mengenai kehidupan harian di sini,” kata pelajar gred lapan Gabriela Reyes-Morris.

Sekolah mereka terletak di padang rumput yang menghadap Air Terjun Yosemite, air terjun tertinggi di Amerika dan satu pemandangan yang sungguh indah untuk dilihat sementara bermain bola sepak. Guru Cathy DeCecco menggelarnya ‘Rumah Kecil di Prairi – dengan Wi-Fi dan kelas robotik.’ Sekolah Lembah Yosemite telah wujud sejak 1875 apabila ia merupakan bangunan sekolah dengan sebuah bilik.

Taman permainan dan padang menghadap air terjun tinggi, yang menawarkan bunyi air mengalir dan menggegar dinding bangunan sekolah apabila ia mencecah tahap kederasan sepenuhnya pada musim bunga. Terdapat sebatang pokok oak besar di luar bangunan di mana mereka duduk dan membaca apabila cuaca panas. Mereka mempunyai hari-hari untuk menjalankan aktiviti luncur pada musim sejuk dan menangkap berudu pada Mei.

Yosemite biasanya dipenuhi dengan pelawat pada masa ini, dan taman itu telah memberikan petanda ia mungkin dibuka semula pada Jun.

Sehingga masa itu, terdapat banyak bahan untuk dilaporkan dari taman Yosemite yang amat hebat dan agung dan dalam keadaan kosong ia rasa seolah-olah sekeping gambar Ansel Adams hidup kembali.

“COVID-19 tidak menjejas bunga cantik yang berkembang mekar,” kata Pearl Johnson, 10. “Dan ia tidak menjejaskan semua sungai yang cantik. Ia sebenarnya menjejaskan sungai cantik dalam cara yang baik disebabkan orang tidak mencemarinya.”

Beruang, kucing bobcat, koyote dan haiwan lain kelihatan berseronok di kawasan taman.

“Sudah pastinya terdapat lebih banyak kisah untuk diberitahu kerana semua haiwan keluar sekarang,” kata pelajar gred enam Eva Peterson. “Sungguh seronok berada dalam taman sekarang. Tidak ada sesiapa di sini.”

Eva ternampak seekor beruang beberapa hari lalu. “Ia datang terlalu dekat, jadi kami berlari ke arahnya,” katanya, tanpa sebarang tanda-tanda ironi. “Itulah yang perlu anda lakukan. Anda perlu mengeluarkan bunyi bising dan ia berlari meninggalkan kami.” Jack juga ternampak seekor beruang memakan seekor rusa di Cook’s Meadow.

Pada malam, seekor singa gunung di pokok mengeluarkan bunyi pelik sehingga penghuni taman memikirkan ia mungkin panggilan mengawan, kata Patsy Fulhorst-Kirtland, yang mengajar pelajar gred lima hingga gred lapan dan merupakan penyunting bersama akhbar Eye.

Budak-budak berkenaan menemu bual semua orang kenamaan Yosemite, ada di antara mereka terdiri daripada ibu bapa mereka, seperti Ketua Renjer Kevin Killian dan Hakim Jeremy Peterson. Mereka membuat liputan mengenai acara yang diadakan di taman dan menulis mengenai apa yang menjadikan sekolah mereka begitu istimewa. Sememangnya ia merupakan impian zaman kanak-kanak.

“Taman itu memberikan inspirasi kepada semua budak-budak,” kata Fulhorst-Kirtland, yang memulakan akhbar sebagai sebuah kelab selepas sekolah pada tahun lalu bersama seorang sukarelawan ibu, Maria Victoria Espinosa-Peterson.

Akhbar tersebut mempunyai ramai pembaca disebabkan Mariposa Gazette, akhbar mingguan tempatan di luar taman. Greg Little, editor dan pemilik bersama Gazette, menerbitnya sebagai lampiran suku dalam Gazette, yang mempunyai edaran 4,000 naskhah. Sebanyak 500 naskhah tambahan diedar di dalam taman. Fulhorst-Kirtland menerima bantuan gran yang membayar kos percetakan untuk tahun ini.

Little dan isterinya, Nicole, penerbit Gazette, telah menganjurkan bengkel fotografi dan penulisan kepada budak-budak, dan sekarang menerima skup tentang diri mereka, kata Little. Edisi terakhir termasuk satu temu bual dengan penolong superintendan baharu Taman Naegara Yosemite.

“Mereka mempunyai satu-satunya temu bual dengan Cicely Muldoon. Saya cuba mengaturnya, semua orang cuba mengaturnya. Namun mereka menerima berita eksklusif,” kata Little. – AP